Sebagai seorang pelajar peringkat sarjana yang amat berminat dengan gerakan Islam, saya melihat perkembangan yang berlaku dalam kepimpinan Pemuda PAS amat menarik perhatian untuk dijadikan tajuk penulisan 'mee segera' saya ini.

Kepimpinan pemuda sesuatu parti dianggap kumpulan yang menjadi sayap utama yang boleh menentukan jatuh bangun sesuatu parti itu. Selalunya, pemudalah yang menjadi pemangkin kepada gerak-kerja sesuatu parti.

Puteri Umno dan Pemuda Umno merupakan dua sayap sokongan parti yang terbaik untuk dijadikan contoh bagaimana kedua-duanya berjaya menaikkan semula imej Umno selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum 1999 melalui pelbagai program yang menjurus ke arah menawan semula sokongan pengundi muda pada pilihanraya tersebut.

PAS pula sampai ke hari ini masih dibelenggu oleh mimpi ngeri akibat kekalahan dalam pilihanraya umum 2004 sehingga kehilangan Terengganu, walaupun tiada siapa yang menyangkanya. Saya tidak menolak kekalahan PAS dan pembangkang yang lain kerana faktor pilihanraya yang berat sebelah, tetapi pada masa yang sama, saya melihat BN juga mempunyai faktor kekuatannya antaranya Pak Lah dan kejayaan menguasai semula golongan muda.

Setelah pilihanraya umum setahun berlalu, Ketua Pemuda PAS pusat Salahudin Ayub dianggap tidak mampu untuk menaikkan imej parti, lantaran tidak mempunyai karisma bagi menggerakkan semula pergerakan itu yang sedang lesu di seluruh pelusuk negara.

Mungkin boleh dicadangkan di sini agar kepimpinan beliau dapat digantikan dengan pemimpin seperti Mujahid Yusuf yang sedang segar sebagai pelapis yang terbaik untuk memimpin Pemuda PAS dalam menggerakkan semula momentum rakyat di saat mereka menghadapi pelbagai permasalahan, termasuk kenaikan harga tol, minyak diesel dan barang-barang keperluan yang lain hari demi hari.

Mujahid yang sedang menghabiskan tesis beliau di peringkat pengajian PhD juga merupakan seorang pemimpin yang berpengetahuan luas dalam bidang agama yang saya akui tidak dapat ditandingi oleh saya. Beliau juga dipercayai dapat memimpin Pemuda PAS berversi baru yang matang berpolitik dengan mengutamakan rakyat sebagai sasaran penting mereka.

Saya juga beryakinan Mujahid pastinya akan berupaya merumus konsep, visi dan misi Pemuda PAS dalam mengatur proses penjanaan arus kebangkitan rakyat menjelang pilihanraya umum yang akan datang.