Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PKR (AMK) mengkritik tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang terlibat dalam pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) 2016.

Terdapat usaha mengasingkan Anugerah Filem Terbaik kepada dua kategori iaitu Filem Dalam Bahasa Malaysia dan Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia.

Ini menyebabkan filem seperti Ola Bola dan Jagat telah hilang kelayakan untuk dicalonkan dalam kategori Anugerah Filem Terbaik kerana skrip mereka dalam bahasa campuran.

Tindakan mengasingkan kategori filem ini adalah seperti agenda perkauman yang cuba memecah-belahkan kaum kaum di Malaysia.

Mengasingkan filem ini adalah satu tindakan yang bersifat rasis seperti berlaku ketika zaman kegelapan kaum di Amerika Syarikat dan Afrika Selatan.

Pelbagai pihak telah meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kategori berkenaan.

Filem Ola Bola yang diilhamkan oleh pasukan bola sepak Malaysia diwakili pemain-pemain berbilang kaum yang layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Manakala filem Jagat pula menggambarkan keadaan sosio ekonomi yang teruk dialami oleh masyarakat India di Malaysia.

Kedua-dua filem ini menjadi begitu popular apabila pelbagai lapisan masyarakat menontonnya.

Ia memberi nafas baru kepada rakyat Malaysia untuk kekalkan semangat rakyat Malaysia.

PFM dan FINAS seperti kerajaan aparteid di Afrika Selatan suatu ketika dahulu kerana mengasingkan filem-filem yang secara dasar dan realitinya mencerminkan Malaysia.

FFM boleh mengambil contoh Anugerah Filem Nasional di India. Dalam pencalonan Anugerah Filem Terbaik India 16 jenis bahasa filem dipertandingkan bagi satu Anugerah Filem Terbaik India.

Walaupun pelbagai jenis bahasa yang berbeza di India namun semua mengambil bahagian dalam pertandingan yang sama.

PKR mengkritik keras tindakan FINAS yang dilihat cuba menyalakan sentimen perkauman tanpa mengambil kira akibat yang akan berlaku.

Tindakan pencalonan ini seolah merendahkan kaum-kaum yang lain dan tidak menghormati sensitiviti kaum di Malaysia ini.

Filem Malaysia tidak bermakna harus dalam Bahasa Malaysia sahaja tetapi yang paling penting, ia mencerminkan Malaysia itu sendiri.


JESTIN RAJ SAVARIMUTHU anggota Majlis Pimpinan Pusat AMK.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS