Sikap tidak apa membawa kepada jenayah besar
Kes-kes jenayah yang berleluasa sekarang ini, seperti pengedaran dan penagihan dadah, lumba haram, bunuh, rogol dan sebagainya, semuanya bermula daripada kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan di peringkat kanak-kanak lagi, yang dibiarkan, terutama oleh ibu bapa. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Ibu bapa sekarang begitu memperlekehkan kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak mereka, seperti membiarkan mereka menunggang motosikal atau membawa kereta tanpa lesen, sehinggakan murid sekolah rendah pun tidak kekok menunggang motosikal di taman-taman perumahan.
Kesalahan kecil pada mereka yang menunggang motosikal di bawah umur ini akan membawa ke jenayah berat apabila dibiasakan kerana ianya boleh membawa kepada lumba haram, menjadi samseng jalanraya dan seterusnya pembunuhan.
Jika ibu bapa sendiri membiasakan anak-anak mereka melanggar peraturan jalanraya atas alasan mereka hanya menunggang di kawasan taman perumahan atau pergi membeli barangan di kedai, maka mereka secara tidak langsung mengajar generasi muda tidak menghormati undang-undang.
Kemalangan atau maut tidak mengenal masa dan tempat. Sekiranya berlaku kemalangan, walaupun di dalam kawasan perumahan, sudah pasti remaja yang di bawah umur tadi akan bersalah, dan lebih teruk jika mereka sendiri yang maut.
Dalam hal pengedaran dan penagihan dadah contohnya, ianya bermula dengan keseronokan merokok, kemudiannya ganja dan seterusnya mencuba dadah yang boleh membawa maut, bukan hanya pada diri mereka, tetapi juga membawa maut kepada orang lain apabila berlakunya kes ragut, kes kecurian dan seterusnya pembunuhan.
Juga dalam kes ini, kita perhatikan masyarakat dan ibu bapa mengambil ringan kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak. Ada bapa yang menyuruh anak mereka yang di bawah umur 18 tahun, termasuk yang masih di sekolah rendah, membeli mereka rokok. Manakala para peniaga pula mengharapkan keuntungan semata-mata tanpa prihatin masalah sosial di sekitar mereka, dengan mudah menjual rokok kepada murid sekolah atas alasan mereka membeli untuk orang lain.
Sedangkan dalam undang-undang negara jelas tertera bahawa membeli dan menjual rokok kepada mereka yang berumur bawah 18 tahun merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman berat yang lebih berat daripada memandu melebihi had laju yang ditetapkan. Sekali lagi dalam kes ini, sikap 'tak apa' masyarakat dan ibu bapa mendatangkan kekeliruan kepada generasi muda mengapa orang dewasa di sekeliling mereka bapa, abang dan para peniaga begitu mudah melanggar peraturan ini, dan mengapa pihak berkuasa tidak pernah mengambil tindakan.
Sikap 'tak apa' ini umpama perpatah yang berbunyi "Api, bila kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan" dan diperkuatkan pula dalam ajaran Islam iaitu "dosa kecil yang dibuat berterusan akan membawa kepada dosa besar".
Begitu juga dalam kes lumba haram, samseng jalanraya dan pembunuhan semuanya bermula daripada kecuaian pelbagai pihak. Rata-rata mereka yang terlibat dalam jenayah ini adalah remaja Melayu dan ada antara mereka mengambil minuman arak, kerana ia begitu mudah diperolehi di pasaraya, kedai serbaguna dan kedai runcit dalam pelbagai bentuk dan jenama.
Jarang kita perhatikan pemilik premis yang menjual arak ini mempamerkan label yang mengatakan arak tidak boleh dijual kepada orang Islam atau mengadakan tempat dan kaunter khusus untuk penjualan dan pembayaran arak. Dan jarang kita dengar pemilik premis perniagaan dan kelab malam meminta para pelanggan atau para pengunjung menunjukkan kad pengenalan mereka untuk mengesahkan bahawa mereka bukan beragama Islam untuk dibenarkan membeli arak.
Perkara sebaliknya berlaku di negara maju seperti di Amerika Syarikat, di mana para remaja yang mengunjungi kelab malam tidak dibenarkan membeli arak jika mereka berumur 18 tahun ke bawah, dan para pelayan atau peniaga kelab tersebut akan meminta kad pengenalan atau lesen memandu untuk mempastikan para pelanggan mereka yang membeli arak berumur 18 tahun ke atas.
Oleh yang demikian untuk meringankan beban tugas pihak polis yang semakin mencabar sekarang ini, maka masyarakat hendaklah tampil membantu mencegah jenayah yang disebutkan tadi dari peringkat awal lagi. Kos untuk merawat adalah empat kali ganda kos untuk mencegah. Ibu bapa dan masyarakat hendaklah sedar bahawa segala jenayah berat yang berlaku di sekeliling mereka bermula daripada kesalahan kecil akibat sikap 'tidak apa'.

