Saya menyokong pendapat dalam surat bertajuk Apakah wajar KWSP melabur di luar negara? Saya dan semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lain kini seperti bergantung kepada belas ihsan pertubuhan tersebut.

Pihak pengurusan KWSP seolah-olah 'melakukan sesuka hati' untuk menukar kemudahan yang bukan untuk kebaikan, malah menyusahkan para pencarum. Isu yang hendak saya diketengahkan ialah perkhidmatan kesihatan selepas bersara.

Saya telah membuat keputusan untuk memilih skim KWSP (daripada skim berpencen) untuk hari tua saya setelah membuat perbandingan antara kedua-dua skim tersebut. Hari ini saya diberitahu bahawa mereka yang memilih skim KWSP, tidak akan diberi perkhidmatan kesihatan seperti mereka yang memilih skim berpencen setelah bersara.

Saya ingin tahu, adakah ini boleh disabitkan sebagai pecah amanah? Nampak sangat mereka tidak berkaliber dalam mengurus dana sekian besar untuk hari tua pencarum. Hendak memberi dividen kepada pencarum pun mengambil masa yang lama untuk memutuskan beberapa peratus yang hendak diberi.

Tiadakah peruntukan yang menyebut sekian peratusan daripada keuntungan global hendaklah dibayar sebagai dividen? Dan daripada jumlah itu, tidakkah mudah mengira berapa peratus sebagai dividen? Bagi saya, perkara ini mudah sangat jika mahu dipermudahkan.

Saya tidak boleh membayangkan dana yang dikutip (berjumlah RM1.5 bilion sebulan) dari pencarum, ada dalam tangan pihak pengurusan KWSP selama 20 hingga 30 tahun tetapi mereka tidak boleh membuat satu perancangan untuk kebajikan kesihatan pencarum pada hari tua mereka.

Hari ini ada pula pelaburan dibuat di luar negara . Saya sebagai pencarum yang kecil memerlukan satu sistem yang direkakan oleh KWSP untuk memberi perlinduang kesihatan pada hari tua saya setelah 30 tahun membuat caruman.

Saya harap mereka, pihak pengurusan (adakah pihak perdana menteri terlibat dalam sebarang keputusan pihak pengurusan KWSP?) mengambil berat tentang kebajikan pencarumnya. Jangan memikirkan hanya keuntungkan sahaja dan itupun keuntungan untuk apa dan untuk siapa?