Sekali lagi nyawa yang begitu banyak telah terkorban dengan begitu kejam dalam satu pengeboman orang awam di Yaman.

Seramai 145 orang telah terbunuh dan hampir 500 orang tercedera apabila suatu acara pengebumian di Yaman telah dibom oleh pasukan tentera sekutu Arab Saudi menggunakan alat senjata bekalan Amerika.

Apa jua alasan yang di beri peristiwa tersebut tidak patut berlaku di antara dua pihak sesama Islam terutamanya ia melibatkan tempat orang awam.

Ini bukan kali pertama tempat awam telah disasarkan oleh pihak sekutu tentera Arab Saudi.

Beberapa hari sebelum ini tentera laut Amerika Syarikat telah menyerang beberapa sasaran di Negara Yaman juga.

Sebuah negara kecil dan miskin seperti Yaman telah menjadi sasaran pihak yang jauh lebih besar dan kaya menjadikan orang awam mangsa utama yang menderita teruk.

Soalnya manakah suara negara negara dunia lain yang konon nya prihatin penderitaan pihak yang lemah dan tidak bersalah di kalangan orang awam yang menjadi mangsa utama terutamanya anak kecil, wanita dan orang orang tua?

Isu Yaman adalah isu peperangan saudara dalaman dan mengapakah tentera kuasa luar yang besar bertindak begitu ganas dan keterlaluan sementara dunia luar diam?

Dunia barat berdiam diri dalam isu ini.

Lebih menghairankan lagi negara negara Islam juga berdiam diri dalam isu pembunuhan orang awam Islam di Yaman.

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Kerajaan Malaysia bersuara dengan meminta kerajaan Arab Saudi menghentikan serangan sedemikian rupa ke atas sasaran orang awam.

Dalam isu Yaman ini kerajaan Malaysia sepatutnya menggunakan pengaruh "istimewanya" menasihati kerajaan Arab Saudi supaya tidak bertindak keterlaluan terhadap rakyat Yaman.

Pada awal tahun 2016 ini saya telah menyoal di parlimen berhubung penglibatan luar biasa tentera Malaysia dalam latihan tentera Northern Thunder bawah tentera sekutu Arab Saudi.

Selain Malaysia, hanya tentera negara-negara Arab dan Afrika sahaja yang terlibat dalam latihan tersebut!

Olhh itu sekarang Malaysia patutlah menggunakan pengaruh dan hubungan istimewanya dengan tentera dan Kerajaan Arab Saudi dalam isu pengeboman kejam di Yaman.

Kerjasama rapat kerajaan dan juga Datuk Seri Najib Razak sendiri dengan kerajaan Arab Saudi dan keluarga dirajanya yang begitu erat hendaklah digunakan untuk kebaikan rakyat Islam Yaman yang sering diserang dengan kejam.

Malaysia sepatutnya mendahului negara-negara Islam lain bersuara dalam isu ini.


RAJA BAHRIN SHAH pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH.