Most Read
Most Commented
Read more like this

Pendukung politik Islam dan aktivis dakwah sering tidak dapat membezakan apakah persoalan pokok yang sedang dibahaskan. Apatah lagi jika sesuatu isu itu ada kaitan dengan agama, tidak ubah sentimen ultra-bangsa di kalangan sebilangan penyokong Umno. Bezanya PAS dan aktivis agama membakar sentimen ultra-agama!

Saya memang kesal dengan beberapa gaya pengolahan isu pendidikan agama di sekolah-sekolah Islam seperti dimulakan oleh presiden Gerakan, Dr Lim Keng Yaik , baru-baru ini. Paling saya kesalkan sikap seorang tokoh kanan PAS, Mohamad Sabu, di Pulau Pinang hujung minggu lepas.

"Kenyataan Lim Keng Yaik memang biadap dan sepatutnya beliau kena mohon maaf," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.net pada 7 Mei.

Walau fokus utama kenyataan beliau dan pemberitaan ini untuk mengkritik Umno, tetapi tokoh ini memang tidak menyembunyikan tuduhan beremosinya dalam isu ini. Beliau dilaporkan berkata, "[Sikap Umno] memberi laluan kepada parti bukan Islam mengatakan sesuatu yang kadang-kadang mencabar Islam."

Begitu juga kenyataan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Seorang anggota exconya, Herman Samsudeen, menyebut begini: 'Jangan undang 13 Mei dan jangan cuba bermain api. Kesabaran umat Islam ada hadnya dan perlu diingat bahawa, api yang membakar umat Islam tidak akan padam selagi orang yang menyalakannya tidak hangus terbakar bersama ideologinya.'

Emosinya yang meluap-luap itu lebih panas lagi tetapi sengaja saya kutip sedikit sahaja sebagai menunjukkan sikap tidak tenang dan tidak rasional dalam perbincangan politik yang melibatkan dasar awam (public policy) dengan agama.

Jadi, apabila membaca kolum Lee Ban Chen saya tidak berasa hairan sama sekali. Sumber yang dipetiknya (banyak pula) daripada seorang penulis blog, Samsuri SMS. Jika kita melihat beberapa posting lain di beberapa laman web aktivis agama, khususnya bulan-bulan terakhir ini, kita akan dapat menghidu bau hangitnya emosi yang sedang terbakar itu.

Saya telah tunjukkan kenyataan, misalnya presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) sendiri melihat isu agama dengan beremosi. Begitu juga kenyataan presiden PAS Abdul Hadi Awang, "jangan undang huru-hara" ( Harakah , 16-30 April 2005). Jadi apa lagi yang kita boleh harapkan daripada mereka ini? Memang tidak rasional dan tidak masuk akal!

Aktivis-aktivis agama di Internet itu hanya meniru daripada kelancangan para pemimpin mereka seperti ditunjukkan oleh Mohamad dan Herman. Jika kenyataan Lim dianggap sejenis 'kelancangan', apakah wajar pemimpin politik Islam menjawab dengan pendekatan yang sama? Dan, untuk apa kita membakar emosi dalam isu dasar-dasar awam ini?

Nampaknya beberapa pemimpin PAS sendiri tidak faham apakah yang fundamental dalam agama (yang wajar diemosikan, jika mahu) dengan sesuatu yang tidak sepenuhnya fundamental (atau dirumuskan dalam dasar awam). Kenyataan dua pemimpin PAS ini sangat keliru kerana tidak ada membezakan dua hal ini. Sama sahaja sikap PAS dan pemimpin-pemimpin pertubuhan Islam terhadap isu anti-kawalan moral negara baru-baru ini.

Mereka, ajaib sekali, tidak mahu meletakkan perspektif yang jelas dalam perdebatan tetapi cenderung membakar emosi? Untuk apa, mengajak 'perang'? Bukankah kebijaksanaan berpolitik itu, membahaskan pokok-pokok persoalan dan inti-inti isu dalam kehidupan bersama? Misalnya perdebatan di Dewan Rakyat, Dewan Negara atau dewan-dewan undangan negeri, untuk apa kita beremosi lagi sedangkan semuanya itu (menang atau kalah dalam undian) sudah ada prosesnya?

Kenyataan Lim itu (jika PAS tenang), berkisar pada kedudukan pendidikan satu sektor agama di sekolah yang menggunakan dana awam. Ada perdebatan besar di banyak negara dalam soal ini sama ada negara layak atau tidak memberi privilege (kelebihan) kepada penganut-penganut agama tertentu daripada wang rakyat semuanya. Apakah agama-agama lain layak diberikan kelebihan yang sama? Bagaimana pula kedudukan mereka yang 'tidak beragama'? Ini isunya, bukan emosi!

Dasar-dasar awam ini boleh dinilai semula, dari semasa ke semasa, seperti penguatkuasaan enakmen syariah. Sama tarafnya desakan PAS untuk menegakkan hudud dan negara Islam memang itu hak demokratiknya untuk menyeru ke arah itu!

Beberapa kumpulan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa ratus individu itu melihat dari perspektif hak asasi dan demokrasi. Jadi, isunya sekarang: kawalan moral oleh kuasa negara daripada perspektif agama dan hak asasi. Kenapa susah sangat kita hendak membahaskan isu-isu ini dengan tenang, rasional dan kritis? Kenapa perlu emosi disuntikkan dalam hal-hal sebegini?

Jika orang politik dan kita semua mahu mendidik rakyat berdebat, menajamkan fikiran politik, langkah-langkah PAS ini langkah mundur. Langkah PAS dan aktivis-aktivis agama ini jalan menutup lagi fikiran masyarakat (sebaliknya mengutamakan emosi) seperti mana projek penyempitan minda dilakukan oleh jentera media Umno dan Barisan Nasional!

Atas semangat ini, saya sering menyerang trend dan pendekatan buruk ini dengan tegas sebab, pada hemat saya, ia melambatkan proses reformasi pemikiran politik orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia.

Janganlah kita berhujah wacana agama itu terkhusus pada orang Islam sahaja atau pakar Islam semata-mata. Aktivis agama telah menyeret Islam ke tengah-tengah masyarakat, dan jangan menduga orang ramai boleh menerima begitu sahaja. Agama dalam konteks ini wajar diperdebatkan secara terbuka, sama ada oleh orang bukan Islam atau bukan ulama.

Menjadi kewajipan aktivis agama menjelaskan dan membentangkan keyakinan dan perspektifnya. Kenapa kita 'lari dari tanggungjawab' dan berdakwah 'sekerat jalan'?

Saya hairan bagaimana PAS dan aktivis-aktivis agama yang suka Islam dimajukan di ruang masyarakat, tiba-tiba tidak mengambil langkah mendidik masyarakat, menerangkan, membentangkan keyakinan mereka, menolak hujah-hujah lawannya dengan tenang, rasional dan kritis. Kenapa?

Bukankah perbincangan akan memajukan lagi sisi-sisi pandangan kelompok yang 'bernas' hujahnya, sama ada agama atau sekular? Apakah PAS tidak yakin agama itu boleh dijelaskan dan dipertahankan secara umum dan terbuka?

Untuk berlaku adil kepada parti Islam ini, saya kutip nasihat seorang pemimpin mudany, Hanipa Maidin, yang saya kira sangat cemerlang: " Engagement seperti ini ialah politik masa depan. Kita tidak boleh lagi berpuas hati dengan pendekatan berkhutbah. Kita perlu engagement yang bersifat two-way street. Tetapi untuk mencapainya perlu banyak lagi usaha menyedarkan ahli PAS."

Hanipa, selama ini saya telah cuba menyedarkan ahli-ahli PAS itu!

ADS