Serahan memorandum mempertahankan hak ibadat telah dibuat di ibu pejabat IKRAM Malaysia, Seri Kembangan, pagi ini.

Serahan memorandum itu dibuat oleh Generasi Keadilan yang mengetuai Gerakan Pertahankan Hak Ibadat.

Ia diserahkan oleh penyelaras gerakan tersebut, Naqiuddin Nazrin untuk mendapatkan sokongan pertubuhan itu terhadap kempen pertahankan hak ibadat.

Memorandum itu menuntut supaya kerajaan mempertahan hak ibadat daripada diancam oleh mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa.

Ini kerana terdapat beberapa undang-undang yang boleh mengancam hak beribadat rakyat Malaysia di rumah ibadah, sekali gus melanggar prinsip hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Antaranya ialah Seksyen 4(b) dibaca sekali dengan Jadual Pertama Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) yang meletakkan rumah ibadat sebagai tempat larangan berhimpun terbuka kepada salahguna oleh pihak berkuasa akibat takrifan yang longgar.

Gerakan Pertahankan Ibadat juga mendesak supaya kerajaan meminda atau memansuhkan mana-mana undang-undang yang boleh mengancam hak beribadah.

Menurut Naqiuddin lagi, memorandum ini akan diserahkan juga kepada pihak-pihak berkepentingan yang lain untuk mereka sedar akan ancaman baharu terhadap hak beribadah.


NAQIUDDIN NAZRIN penyelaras Gerakan Pertahankan Hak Beribadat, Generasi Keadilan.