Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Gerakan Media Merdeka (GERAMM) ingin menyampaikan salam solidariti buat rakan-rakan seperjuangan di The Brunei Times yang dilaporkan telah ditamatkan perkhidmatan mereka.

Berita sedih dan mengejutkan ini diumumkan semalam pada muka depannya yang menyatakan punca akhbar bahasa Inggeris berusia 19 tahun itu ditutup adalah masalah kewangan.

Bagaimanapun pelbagai sumber yang diterima GERAMM termasuk beberapa penulisan serta video dari mereka yang mempunyai kaitan dengan The Brunei Times turut menimbulkan kemungkinan tekanan pihak berkuasa sebagai faktor penutupan.

Sebagai gerakan yang memperjuangkan kebebasan media membuat laporan dan mengamalkan prinsip kewartawanan jitu, GERAMM menyeru semua pihak untuk memainkan peranan agar tiada lagi pekerja media yang menjadi mangsa dalam keadaan seperti ini.

Tahun lalu, portal The Malaysian Insider di Malaysia turut ditutup atas alasan kewangan selepas pihak berkuasa mengambil tindakan lantaran tidak setuju dengan cara liputan mereka.

Selain pekerja termasuk wartawan portal berkenaan, masyarakat sesebuah negara demokrasi menanggung kerugian apabila hilang satu lagi sumber laporan berita alternatif dalam iklim kewartawanan negara yang cuba dikekang oleh pihak berkuasa.


Gerakan Media Merdeka (GERAMM) adalah perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.

Lihat Komen
ADS