PAS: Peralihan atau perubahan?
Pengumuman Ustaz Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS untuk bertanding jawatan timbalan presiden amat membanggakan. Beliau adalah seorang tokoh ulama muda yang berfikiran terbuka, berpengetahuan dan merupakan 'permata' untuk PAS.
Selepas pemergian almarhum Ustaz Datuk Fadzil Noor, PAS nampaknya lesu. Tiada lagi ketajaman strategi dan kemantapan teknik gerakannya sebagaimana di era sebelumnya. Ini ditambah pula dengan pukulan dalam pilihanraya umum lalu meninggalkan parut yang parah dalam PAS.
Setiap kali diadakan ijtimak dan munaqasah PAS, ianya memberi gambaran betapa tandusnya PAS dengan lapisan kepimpinan yang berdaya-maju, berfikiran terbuka dan ke hadapan serta komited dengan perjuangan.
Kalau adapun, mereka tidak banyak diketengahkan kerana mungkin masih terdapat 'budaya cantas' di kalangan ahli dan sesetengah pemimpin parti. Permata PAS kurang diketengahkan. Malah yang diketengahkan hanyalah 'pemidato' dan mereka yang dianggap 'penghibur' yang popular dikalangan ahli.
Antara kejayaan almarhum Ustaz Fadzil ialah kejayaan mencetuskan kesedaran dan kebangkitan rakyat, hasil sentuhannya ketajaman ijtihadnya ketika menubuhkan 'Gerak'. Ia digerakkan, antaranya, bersama Haji Mahfuz Omar, Salahudin Ayub. Nasharudin Mat Isa dan beberapa kepimpinan muda PAS dan Keadilan yang diketuai Datin Seri Wan Azizah, Azmin Ali dan Ezam Mohd Nor.
Mereka bukan sahaja berlegar di pentas-pentas pidato, malah merancang strategi, memantap kesatuan dan menggerakkan massa dengan agresif sekali. Kita amat rindukan gerakan sebegini.
Nampaknya, muktamar kali ini harus melihat kepada perubahan ini. Ahli dan perwakilan PAS perlulah menjadi pemilih yang matang untuk kebaikan parti dan berani untuk mengguriskan mata pena ketika pemilihan untuk membuat satu perubahan kepada barisan kepimpinan.
Pemilihan kali ini hendaklah berdasarkan siapa yang boleh membawa wajah baru kepada politik Malaysia. Siapakah yang boleh merancang strategi masa depan PAS dan politik Malaysia dengan lebih berani dan terbuka. Siapakah yang boleh menggerakkan penubuhan Barisan Rakyat bagi menyaingi Barisan Nasional dan siapakah yang akan menerajui pengambilalihan kekuasan di Malaysia dengan strategi yang ampuh dan mantap.
Pimpinan yang lesu dan 'play safe' seharusnya tidak menjadi pilihan utama kerana ini hanya akan membuatkan masa depan kesemarakan politik Malaysia tidak menggembirakan. Kepada para perwakillan Muktamar PAS, gunakakanlah hak anda dengan betul dan pilihlah seseorang yang punya visi dan misi yang jelas dan dapat berkerja secara berpasukan untuk menjayakan PAS dan meletakkan PAS di garis hadapan politik Malaysia.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.