Pemilihan dalam Muktamar PAS yang akan berlangsung di negeri saya pada hujung minggu ini turut mengundang saya untuk menyuarakan pandangan saya demi memenuhi ruang demokrasi dalam parti pembangkang yang terbesar di Malaysia ini.

Saya mengalu-alukan kedatangan para perwakilan dengan ucapan 'ahlan wa sahlan wa marhaban bikum'. Turut menjadi bonus kepada PAS Kelantan apabila anak-anak dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini, seperti Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Husam Musa, Datuk Ahmad Yaakob, Mohd Takiyuddin Hassan, dan Nik Amar Abdullah adalah antara yang dicalonkan untuk merebut tempat dalam kepimpinan PAS Pusat kali ini.

Saya memberi fokus utama kepada Datuk Halim yang dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden dan saya berharap perwakilan dapat menilai sejarah politik beliau sebelum mereka memberikan undi kepadanya.

Sepanjang tempoh kerjaya politiknya, Datuk Halim tidak pernah bertanding mana-mana jawatan baik di peringkat ketua cawangan ataupun ahli jawatankuasa (AJK) cawangan mahupun kawasan ataupun Pusat. Jawatan yang beliau sandangi kini sama ada di peringkat negeri atau pusat Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Bendahari PAS Pusat hanyalah jawatan lantikan.

Baru-baru ini beliau cuba bertanding jawatan timbalan yang dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa, tetapi ditentang hebat dan terpaksa menarik diri. Mengapa?

Sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan, beliau mempunyai sifat penentangan kuat ke atas fikrah dan versi Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan selalu saja berubah halatuju daripada mengikut keputusan parti yang telah diputuskan secara bersama.

Mungkin ramai yang terlupa bahawa Datuk Halim yang sebelum ini menjadi timbalan menteri besar pada penggal lalu, kehilangan jawatan tersebut apabila tidak lagi dibenarkan bertanding di peringkat negeri.

Senario ini wajib dikaji dengan teliti oleh para perwakilan ketika menunaikan kewajipan amalan demokrasi dalam PAS ketika mengundi di pemilihan parti pada 3 Jun ini. Muktamar kali ini akan menentukan masa depan PAS di Kelantan yang menjadi kubu terakhir PAS itu sendiri.