'Pulau Pinang sepatutnya berada dalam keadaan defisit'

       

Minggu lalu saya telah melahirkan rasa terkejut saya apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng menafikan lebihan bajet terkumpul sebanyak RM574 juta bagi kerajaan Pulau Pinang diterajui DAP sejak 2008 adalah berikutan penjualan tanah di negeri itu. Saya turut mengemukakan pelbagai angka bagi mengukuhkan fakta ini dan meminta beliau menunjukkan formula matematik beliau.

YAB Lim bagaimanapun tersinggung dengan fakta yang saya kemukakan itu dan mengeluarkan kenyataan media bagi menyerang saya dengan mendakwa saya tidak tahu mengenai perakaunan sambil memberikan pelbagai angka yang tidak betul bagi menyokong serangannya terhadap saya.

Melalui kenyataan beliau yang sarat dengan penghinaan, nampaknya serangan peribadi paling teruk pernah dilakukan beliau semenjak beliau menyertai arena politik. Ini membuktikan kenyataan saya gagal dinafikan dan membongkar pembohongan beliau.

Di sebalik serangan peribadi terhadap saya itu, saya amat sukacita apabila YAB Lim turut mengesahkan beberapa perkara yang dibangkitkan sekaligus membuktikan propaganda berterusan DAP adalah pembohongan semata-mata.

Perkara pertama yang disahkan YAB Lim adalah perbelanjaan operasi kerajaan negeri meningkat sebanyak tiga kali ganda sejak 2008 hingga 2015. Peningkatan besar ini dijangka akan terus naik berikutan perbelanjaan operasi di bawah Bajet Pulau Pinang 2017 diunjurkan lima kali ganda daripada angka pada 2008.

YAB Lim turut berkata saya perlu memuji beliau kononnya mentadbir negeri itu dengan lebihan di sebalik peningkatan tiga kali ganda pada perbelanjaan. Beliau berkata ia adalah berikutan prinsip CAT yang diamalkan kerajaan DAP yang menghasilkan “pengekangan kos lantaran daripada tender terbuka yang kompetitif yang dapat memberikan harga terbaik.”

Bagaimanapun, saya pengekangan kos dalam dunia sebenar adalah bermaksud perbelanjaan operasi akan menurun dan bukannya melonjak kepada 300 peratus.

Perkara kedua yang diutarakan YAB Lim ialah apabila beliau mengakui dakwaan “BN Pulau Pinang lebih banyak menjual tanah daripada DAP” adalah tidak benar. YAB Lim bersetuju kebanyakan tanah yang kononnya dijual BN dalam propaganda mereka adalah hak tebus guna tanah, dan bukan tanah sebenar.

Bagaimanapun, YAB Lim terus mengelirukan rakyat dengan mendakwa BN Pulau Pinang telah menjual hak tebus guna tanah ini pada RM1 bagi sekaki persegi dan dalam hal ini, bagi projek tebus guna Tanjung Tokong.

Beliau mungkin terlupa yang RM1 sekaki persegi ini turut disertai dengan syarat iaitu apabila ditebus guna, pemaju perlu menyerahkan 10 peratus daripada kawasan tebus guna secara percuma kepada kerajaan negeri.

Ini adalah tanah yang sama digunakan kerajaan Pulau Pinang untuk membayar projek kontroversi Terowong Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion dan bagi laporan kebolehlaksanaan yang menelan belanja RM305 juta.

Ini membuktikan dakwaan kononnya BN Pulau Pinang menjual tanah atau hak milik tanah pada harga RM1 sekaki persegi adalah tidak benar kerana tanah yang ditawarkan sebagai sebahagian daripada perjanjian jual beli ternyata lebih tinggi nilainya daripada itu.

Pihak media seharusnya bertanyakan kepada YAB Lim jika ini benar.

Perkara ketiga yang dinyatakan YAB Lim ialah beliau turut mengesahkan saya adalah pengerusi SPAN baharu bermula 1 Disember 2016 namun beliau secara melulu menyalahkan saya bagi pelbagai masalah sebelum itu.

Ia adalah kerana jawatan baharu saya ini, saya dapat mengesahkan propanganda DAP kononnya dapat mengurangkan hutang kerajaan negeri sehingga 95 peratus oleh kerana CAT.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah SPAN dan kerajaan Persekutuan telah mengambil alih hutang semasa kerajaan negeri berjumlah RM655 juta dan mengubahnya kepada bayaran tahunan sebanyak RM14.56 juta, yang kerajaan Pulau Pinang membayar kepada kerajaan Persekutuan selama 45 tahun pada jumlah keseluruhan yang sama.

Untuk itu, daripada satu hutang, ia ditukar kepada pemajakan. Sebagai pulangannya, kerajaan Pulau Pinang menjanjikan aset air dan tanah kepada kerajaan Persekutuan.

Melalui kenyataan beliau minggu lalu, YAB Lim mendakwa perolehan yang digunakan bagi membiayai kenaikan tiga kali ganda perbelanjaan kerajaan negeri adalah daripada cukai tanah dan pelbagai cukai lain berkaitan tanah.

Laporan Ketua Audit Negara dengan jelas menyatakan perolehan daripada cukai tanah kekal sama. Ia hanya meningkat daripada RM93 juta pada 2008 kepada RM104 juta pada 2015, dengan jelas menunjukkan ia tidak mencukupi bagi menanggung kenaikan perbelanjaan.

Peningkatan yang besar adalah daripada “Premium Tanah – Pemberian Hak Milik” yang menunjukkan peningkatan setiap tahun daripada RM19 juta pada 2008 kepada RM324 juta pada 2015.

Laporan Ketua Audit Negara turut menjelaskan perolehan adalah daripada penjualan tanah. Antara 2008 dan 2015, ia melibatkan jumlah RM1.22 bilion, secara ketara ia amat tinggi daripada RM574 juta jumlah terkumpul daripada lebihan bajet.

Angka ini tidak termasuk penjualan aset lain oleh PDC dan tanah yang dilepaskan seperti bagi RM6.34 bilion untuk projek Terowong Pulau Pinang dan tanah yang dijual bagi menanggung projek Pelan Utama Pulau Pinang (Penang MasterPlan) bernilai RM46 bilion di mana kerajaan Pulau Pinang turut menyatakan mereka akan membuat pinjaman jumlah berbilion yang masih tidak dinyatakan daripada bank.

Pada perakaunan berbeza, kerajaan Pulau Pinang turut menerima bayaran daripada penjualan tanah daripada PDC berjumlah RM173.5 juta antara 2013 dan 2015, bermakna perolehan daripada penjualan tanah negeri kini berjumlah RM1.4 bilion.

Pemeriksaan kami terhadap akaun ini turut menunjukkan antara 2010 dan 2014, kerajaan Pulau Pinang telah menutup beberapa akaun amanah kerajaan negeri seperti ‘Akaun Perumahan Awam Kos Rendah’ dan ‘Pinjaman Projek Bekalan Air Luar Bandar.’ Wang itu kemudiannya dipindahkan kepada wang terkumpul kerajaan negeri dan dijadikan sebagai pendapatan kerajaan negeri, di mana ia turut menyebabkan lebihan kepada kerajaan negeri.

Jumlah yang dipindahkan melibatkan sekurang-kurangnya RM240.19 juta.

Menggunakan penjualan tanah negeri dan manipulasi akaun berkaitan pemindahan dana menjadi pendapatan kerajaan negeri, menunjukkan kerajaan Pulau Pinang sebenarnya mengalami defisit bajet setiap tahun sejak 2010.

Daripada jumlah terkumpul lebihan RM574 juta dari 2008 hingga 2015, kerajaan Pulau Pinang sebenarnya mengalami defisit RM1.057 bilion.

Beberapa bulan lalu, saya telah mencabar YAB Lim dan Penang Institute untuk mengesahkan 12 perkara pada penyusutan ekonomi dan kewangan Pulau Pinang atau memfailkan saman jika saya silap.

Antaranya, ia termasuk penemuan fakta Pulau Pinang mengalami pertumbuhan paling rendah bagi pendapatan median antara 2010 hingga 2015, keempat paling rendah dalam pendapatan isi rumah median antara 2009 dan 2014 dan Pulau Pinang juga mengalami pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keempat paling rendah bagi tempoh 2008 hingga 2015, dengan banyak negeri lain mengatasi Pulau Pinang.

Malangnya, cabaran saya disambut diam seribu bahasa daripada YAB Lim dan Penang Institute, yang turut mengeluarkan kenyataan tidak akan menjawab persoalan dibangkitkan itu.

Saya turut mengutarakan sebelum ini, menjual aset negeri bagi membiayai perbelanjaan tahunan kerajaan negeri yang meningkat adalah rapuh dan sama seperti menjual permata keluarga, satu budaya yang dilihat berterusan dengan penjualan saham Pulau Jerejak milik kerajaan negeri baru-baru ini kepada sebuah syarikat pada RM156 juta dan satu tender lain untuk menjual tanah lanjutan pembatalan pembelian EcoWorld Bhd.

Kerajaan Pulau Pinang berterusan bersandar kepada propaganda palsu bagi menggambarkan sesuatu yang tidak benar bagi mengelirukan rakyat Pulau Pinang.

Kenyataan YAB Lim yang ditujukan kepada saya pada minggu lalu adalah bukti kepada hakikat ini.


LIANG TECK MENG setiausaha agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda