Paling Popular
Terkini

Dianggarkan 50,000 pekerja bakal diberhentikan pada tahun ini.

Bayangkan jika yang diberhentikan itu lelaki 40 tahun, kerja kilang, ada seorang isteri dan empat anak, dua anak bersekolah, seorang anak di tadika, seorang anak lagi baru seronok "dapat kaki" berjalan terkedek-kedek sini sana.

Anda rasa mudahkah untuk lelaki ini dapatkan kerja baru? Kilang mana mahu menggajikan seorang lelaki yang berumur?

Jika ditemuduga lelaki ini dan seorang lagi lelaki awal 20-an, majikan akan pilih yang mana?

Katakanlah ambil masa tiga bulan untuk mendapatkan kerja baru, siapa nak tanggung keluarga ketika itu?

Siapa nak bayar duit minyak dia bergerak sana-sini waktu cari kerja? Kalau isteri bekerja mungkin boleh sama tampung, kalau isteri suri rumah sepenuh masa?

Bayangkanlah lagi dengan penuh mendalam bagaimana jika dalam tempoh ini ada anak yang sakit dan perlu dapatkan rawatan?

Berniaga? Ya, dia boleh berniaga. Modal mahu dapat dari siapa? Siapa sudi memberi? Harapkan agensi bantuan berapa lama baru boleh dapat kalau diluluskan? Sementara tunggu tempoh dapat itu, di kat rumah takkan tidak berasap?

Kerajaan kena bantu! Bantu bagaimana? Mahu kerajaan masukkan tiap bulan duit? Beranganlah! Hutang negara pun ratus bilion, lagi nak tambah perbelanjaan? Gila apa.

Habis apa boleh buat?

Maka hasil bincang demi bincang, kami gagaskan sebuah idea. Idea ini kami lontarkan hari demi hari, malah hampir seluruh negara telah kami jelajahi sejak tahun lalu.

Masuk ke warung-warung, pasar basah, lampu-lampu isyarat kami edarkan risalah.

Ideanya begini, kami cadangkan kerajaan wujudkan satu dasar, untuk menambah sebuah lagi caruman pekerja. Macam KWSP dan Perkeso.

Kira pekerja dan majikan carum tiap bulan sama-sama waktu bekerja. Bezanya ialah caruman ini untuk dikeluarkan bila pekerja dihentikan kerja/berhenti kerja.

Objektifnya ialah pekerja ibarat lelaki tadi dapat hidup beberapa bulan selepas kehilangan kerja. Tugas kerajaan ialah wujudkan skim ini dan wajibkan semua majikan dapat patuhi. Kami kempen dengan nama "Tabung Pemberhentian Kerja".

Kini hasil sokongan kawan-kawan. Idea ini mula didengari. Kajian demi kajian telah dijalankan oleh kerajaan. Namun belum dapat putuskan bilakah ia akan dimulakan.

Nama diguna pakai "Skim Insurans Pekerja". Konsep yang mirip sama tetapi nama berbeza. Tak apalah, bukan nama yang kami cari, asalkan kaum pekerja terbela. Objektif biar tercapai.

Cuma perlukan sedikit lagi bantuan jika sudi. Bantuannya ialah kongsi tulisan ini atau salin dan tampal.

Pada 19 Januari ini satu himpunan aman akan diadakan di Kementerian Sumber Manusia (KSM), Putrajaya jam 10 pagi lebih kurang bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan untuk melaksanakan skim ini.

Ya, kita selalu bangkang kerajaan bila lakukan kesilapan, kali ini bila kerajaan mahu buat sesuatu yang betul tidakkah kita harus berikan sokongan?

Maka ayuh, demi nasib 50,000 pekerja, kita turun KSM Putrajaya 19 hari bulan ini!

Ajak kawan-kawan sama! #tolongShare


NIK AZIZ AFIQ Pemuda Sosialis Parti Sosialis Malaysia.

Lihat Komen
ADS