Lagi lemas: Sudah terhantuk tapi tak terngadah
Ajal maut semuanya di tangan Allah. Akan tetapi manusia harus berusaha dengan segala kudrat yang ada daripada sengaja menempah maut. Kejadian lemas yang meragut nyawa adik Mohd Kamal Rashid Ahmad Kamal Khairom, 5, pada hari 12 Jun di kolam renang sebuah hotel di Port Dickson, bukanlah yang pertama berlaku di pantai peranginan di Negeri Sembilan ini.
Malah, mungkin ada kejadian lemas sebelum ini yang tidak dilaporkan dalam akhbar. Ianya menunjukkan betapa sikap berwaspada rakyat kita baik pengunjung mahupun pengusaha kolam renang serta pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak memberi perhatian serius bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.
Para pengunjung khususnya, hendaklah terlebih dahulu meninjau kolam renang di tempat penginapan mereka, sama ada mempunyai tahap keselamatan yang baik bagi mengelak kanak-kanak berada di kawasan kolam renang dewasa. Mereka hendaklah memastikan kolam renang kanak-kanak dipisahkan dengan pagar yang tidak boleh dibolosi.
Sekiranya tiada pilihan, mereka hendaklah mengawasi anak-anak mereka pada setiap detik dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pengawal kolam atau pengawal pantai. Keasyikan menjawab telefon atau menjawab SMS boleh menyebabkan anak dalam kawalan kita terjatuh ke dalam kolam renang dan lemas. Elakkan sebarang permainan atau bola di sekitar kolam renang kerana ini akan menarik perhatian kanak-kanak.

