Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Umno, BN politikkan RUU355 untuk pertandingan 3 penjuru

Keputusan parti pemerintah baru-baru ini untuk tidak mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen menimbulkan banyak tanda tanya.

Namun, yang jelasnya ia telah dipolitikkan walau alasan apa pun yang cuba diberi. Noktah!

Ini kerana parti pemerintah pernah membenarkan RUU 355 dibawa oleh ahli Parlimen Marang mengatasi urusan kerajaan malah Datuk Seri Najib Razak telah dengan bangga mengumumkan untuk kerajaan mengambil alih RUU 355 tersebut dalam Perhimpunan Agung Umno pada 1 Disember 2016 yang lalu.

Timbalan Perdana Menteri mengukuhkan dan menyokong pula hasrat itu. Tiba-tiba pusingan-U berlaku. Untuk tambah jelas, cuba teliti kronologi ringkas episod RUU 355 ini:

Kronologi Akta 355

1. 26 Mei 2016 – Usul persendirian RUU 355 dibawa oleh Ahli Parlimen Marang. Usul tersenarai pada turutan ke-15 dalam mesyuarat Parlimen tetapi dinaikkan ke nombor satu mengatasi semua usul-usul kerajaan. Usul hanya dibacakan YB Marang tanpa perincian. Perbahasan ditangguhkan atas permintaan YB Marang.

2. 18 Jun 2016 – Pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Penamaan calon pada 5 Jun 2016. Undi Melayu berpecah kerana 3 penjuru. BN menang di kedua-dua PRK. Kempen PAS antara lain kempen tradisi menegakkan Islam dan mengambil kesempatan daripada RUU 355.

3. 22 November 2016 – Taklimat khas untuk ahli Parlimen berkenaan RUU 355 dipanggil oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata, RUU akan tetap dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat oleh ahli Parlimen Marang.

“Kerajaan juga akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan dibentuk untuk melibatkan ahli Parlimen beragama Islam dan bukan Islam,” katanya.

4. 24 November 2016 – YB Marang telah membaca dan meminda usul RUU 355 dengan memasukkan had hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun, rotan tidak melebihi 100 sebatan dan juga denda tidak melebihi RM100,000. Oleh sebab usul yang dipinda ini berbeza dari usul sebelumnya, maka perbahasan juga ditangguhkan untuk memberi ruang penelitian.

5. 1 Disember 2016 - Pindaan terhadap RUU 355 akan diambil alih pihak kerajaan, kata Najib ketika menyampaikan ucapan dasar dalam perhimpunan agung Umno 2016.

“Saya pinta, janganlah sesiapa mempolitikkan isu ini kerana, ia adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh kerajaan Persekutuan,” tegas Datuk Seri Najib.

6. 18 Februari 2017 – Himpunan 355 dianjurkan oleh PAS dan NGO Islam di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut hadir dan berucap menyokong.

7. 17 Mac 2017 – Ahmad Zahid mengesahkan kerajaan memutuskan akan membentangkan sendiri RUU 355 dalam sidang Parlimen kali ini. Katanya, Najib komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu-gugat kepentingan agama serta kaum lain.

Beliau memberitahu, perkembangan itu menunjukkan kerjasama kerajaan BN dengan 'rakan baharu' yang pernah menjadi musuh politik.

8. 30 Mac 2017 - Najib berkata, Dewan Tertinggi BN memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul RUU 355.

"Dewan Tertinggi BN malam ini membincangkan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan konsensus.

Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil (rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan (kedudukannya)," kata Najib.

9. 1 April 2017 - Ahmad Zahid tidak yakin RUU 355 akan dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

PAS masih percaya Umno

Berdasarkan kronologi ini, bukankah ini menunjukkan RUU 355 satu sandiwara politik? Tidak patutkah PAS tagih janji Umno BN? Apakah PAS masih percaya kepada Umno BN lagi?

Di manakah kerjasama kerajaan parti pemerintah dengan ‘rakan baharu’nya yang dikatakan oleh Ahmad Zahid? Di mana letaknya sikap serius dan komited Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zahid untuk mengambil alih RUU 355 seperti yang dikatakan mereka sebelum ini?

Benarkah Datuk Seri Najib dan Umno terpaksa akur dengan rakan-rakan komponen BN yang tidak bersetuju? Atau ini hanya sebahagian daripada ‘grand design’ Umno BN selama ini?

Kononnya menyokong PAS melalui RUU 355 sehingga meretakkan pembangkang dan mendapat sokongan Melayu tetapi kemudiannya menarik balik sokongan kerana kononnya terpaksa akur dengan ‘konsensus’ BN dan menyerahkannya kembali kepada PAS dan speaker Dewan Rakyat?

Sementara YB Marang berhak untuk membawa apa-apa usul persendirian, namun sejak awal lagi pelbagai pihak termasuk PKR telah menyatakan bahawa RUU 355 sewajarnya dibawa oleh parti pemerintah.

Namun jelas permainan politik RUU 355 ini mengatasi kewarasan dan kebijaksanaan. Ia dimainkan oleh kedua-dua UMNO dan PAS. Masing-masing mempunyai kepentingan sendiri, namun sudah barang pasti undilah yang mahu diraih.

Permainan politik ini juga menarik pihak yang bertentangan iaitu dari Gerakan, MCA, MIC dan parti-parti di Sabah serta Sarawak untuk turut membantah RUU 355 disebabkan kesan undi yang bakal mereka perolehi dalam PRU14 kelak.

Yang anehnya, YB Marang masih lagi berharap supaya beliau diberikan kesempatan oleh speaker Dewan Rakyat untuk membentangkan RUU 355 dalam sidang Parlimen. Katanya, PAS keseluruhannya bersedia menghadapi rintangan dan halangan untuk membentangkan RUU ini.

Apakah Speaker akan membenarkannya atau tidak? Ia bergantung kepada rundingan antara YB Marang dengan menteri.

Harapan YB Marang

Mungkin YB Marang berharap ia berlaku seperti kali pertama dahulu. Namun saya percaya peluangnya agak tipis disebabkan masih banyak urusan kerajaan yang belum selesai dan Ahmad Zahid sendiri tidak yakin.

Tetapi bagi saya, asasnya terletak kepada keazaman politik atau political will. Kesemuanya perlu diakui terletak atas budi bicara parti pemerintah dan bukan speaker pun, walaupun peraturan Parlimen tetap dihormati.

Dalam polemik ini, PKR telah menegaskan dalam pendiriannya bahawa sebarang usaha memperkasakan undang-undang syariah perlu diteruskan dengan hikmah dan penjelasan teliti berasaskan matlamat murni syariah (maqasid syariah) iaitu setiap tindakan harus menjurus kepada keamanan dan keadilan.

Ia juga perlu dilihat dengan lebih menyeluruh dan tidak semata-mata kepada perundangan atau hukum. Aspek pentadbiran, pengurusan, penggajian dan bidang kuasa mahkamah syariah perlu juga diberi perhatian.

Jika pertimbangan waras dan bijaksana diambil, bukannya pertimbangan politik semata-mata, bukankah lebih baik YB Marang tarik balik usulnya dan menyerahkannya kepada pihak kerajaan?

RUU 355 terlampau dipolitikkan sehingga menarik penentangan oleh sesetengah pihak dari kalangan orang bukan Islam dan juga orang Islam sehingga membawa kepada polemik yang amat merugikan. RUU 355 kekal permainan politik Umno untuk memastikan berlaku pertembungan 3 penjuru.

Saranan pakar hudud

Saya setuju dengan pandangan yang diberi oleh Dr Zulqarnain Lukman, Ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud Kelantan, bahawa pindaan Akta 355 akhirnya akan dibuat juga oleh parti pemerintah kerana ada keperluan untuk menyemak kembali kadar dan kaedah hukuman yang patut diberikan kepada Mahkamah Syariah.

Namun banyak lagi pertimbangan yang perlu dibuat. Antaranya, menurut Dr Zulqarnain ialah hukuman khidmat komuniti yang kini masih belum wujud struktur dan mekanisme yang jelas di Mahkamah Syariah serta justifikasi mengenai peningkatan hukuman denda kepada RM100 ribu dan penjara 30 tahun.

Seperti mana saranan oleh PKR, Dr Zulqarnain juga mencadangkan wujudnya hubung saran tentang RUU 355 dengan semua pihak sebagai jalan muafakat dan hujah yang kukuh menurut kajian yang mendalam.

Menurutnya, proses pemahaman ini hendaklah bermula secara ‘top down’ iaitu bermula daripada peringkat pembuat dasar iaitu pihak kabinet dan Majlis Raja-Raja, kemudian parti-parti politik, pegawai-pegawai kerajaan, pihak kerajaan negeri dan di peringkat rakyat.

Maka baharulah RUU 355 ini dibentangkan di Parlimen oleh parti pemerintah. Meskipun proses ini mungkin memakan masa tetapi ianya akan membawa manfaat yang lebih besar dan menjauhkan polemik yang mengelirukan, katanya.

Parti pemerintah wajib bertanggungjawab sepenuhnya di atas segala kekeliruan dan polemik yang berlaku sedangkan perancangan “roadmap” yang teratur oleh Jawatankuasa Teknikal telah disusun. Hakikatnya, RUU 355 telah dipolitikkan.
Justeru, Umno dan BN tidak boleh melaga-lagakan rakyat dengan isu kaum dan agama kerana rakyat sudah cerdik dan bijak menilai. Parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan tidak boleh terperangkap sama dalam mainan politik ini.

Rakyat tidak boleh membiarkan kerajaan yang pincang begini terus memerintah. Bentang atau tidak, nasib rakyat tidak terbela malah tercekik dengan kerajaan kleptokrat Najib. Itu fakta.


SYED IBRAHIM SYED NOH adalah ketua penerangan PKR. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS