Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Surat
Bayangkan jika PBT kutip sampah ikut kencenderungan politik!

Tindakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membatalkan kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen yang Barisan Nasional telah tewas menunjukkan sifat hasad dengki yang melampau dan khianat terhadap rakyat Malaysia.

Tanggung jawab utama sesebuah kerajaan tidak kira di peringkat persekutuan, negeri atau tempatan adalah memastikan kehidupan rakyat terjaga tidak kira kaum, agama, latar belakang apatah lagi kecenderungan politik.

Kekayaan negara atau negeri yang digunakan untuk pembangunan infrastruktur adalah hak semua rakyat.

Kekayaan kerajaan adalah kekayaan rakyat, bukannya dari akaun peribadi MO1 atau poket mana-mana ahli politik. Maka setiap rakyat berhak menikmatinya tidak kira apa pun kecenderungan politik mereka.

Selaku seorang ahli majlis bagi salah sebuah kerajaan tempatan (PBT) di Selangor dan terlibat sama dalam pelbagai urusan tadbir urus PBT, saya melihat sendiri bagaimana perkhidmatan diberikan secara menyeluruh tanpa menjadikan kecenderungan politik sesuatu kawasan sebagai pertimbangan.

Di mana ada keperluan maka di situ peruntukan atau bantuan akan disalurkan. Saya percaya ini juga merupakan amalan di mana-mana kerajaan tempatan di dalam negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Jika sikap buruk Menteri KPKT, Noh Omar ini ditiru oleh PBT, dan kutipan sampah hanya dilakukan mengikut kecenderungan politik sesuatu kawasan, bukankah mala petaka jadinya?

Antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) adalah DUN Kuang. Meskipun sebelum ini dimenangi oleh BN, perkhidmatan sama rata diberikan oleh MPS, tiada beza dengan mana-mana DUN yang dimenangi PH.

Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang berkhidmat untuk semua rakyat tanpa diskriminasi.

Tindakan KPKT jelas mengamalkan politik diskriminasi. Sungguhpun amalan BN memperguna harta rakyat Malaysia seolah-olah duit mereka sendiri itu bukan lagi rahsia, namun tindakan terbaru KPKT ini menyerlahkan lagi betapa busuknya sifat dengki yang semakin membengkak di kalangan ahli politik BN.

Sudah tentu semua ini semakin menjadi-jadi berpunca daripada pilihanraya umum yang semakin hampir. Noh Omar semakin terdesak untuk melakukan apa saja demi menjadi Menteri Besar Selangor.

Jika beginilah sikapnya, seharusnya dia ditewaskan terus dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Saya dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini dan berharap rakyat dapat membuka mata melihat siapa yang jujur mengembalikan kekayaan negara kepada yang berhak tanpa mengira kencederungan politik dan siapa yang menyalahgunakan kekayaan negara untuk kesenangan politik mereka sendiri.


EDRY FAIZAL adalah Ahli Majlis (Majlis Perbandaran Selayang) dan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor

Lihat Komen
ADS