Harga naik lagi, apa harus kita lakukan?
Mengeluh lagi kita tahun ini. Saya sendiripun tidak tahu sudah berapa kali mengeluh tahun ini. Harga petrol naik lagi dan yang pasti ianya akan mengakibatkan rantaian kenaikan harga barangan. Tarif elektrik sudah diberi perkhabaran akan dinaikkan.
Jika dahulu mungkin sebulan sekali keluarga dibawa makan di restoran, tetapi mungkin sekarang setahun sekali. Jika dahulu pergi surau naik kereta, mungkin sekarang naik basikal atau jalan kaki. Kalau dahulu anak dihantara ke tuisyen, tetapi mungkin sekarang mengajar anak sendiri di rumah pada waktu malam.
Jadi apakah jalan penyelesaian yang dapat diberikan untuk menangani kenaikan harga petrol dan harga barangan, selain daripada menyuruh rakyat bijak berbelanja? Bijak berbelanja dengan menghentikan atau mengurangkan penajaan program yang tidak membawa faedah kepada rakyat?
Bijak berbelanja dengan menghentikan atau mengurangkan pembelian persenjataan canggih? Bijak berbelanja dengan menghentikan atau mengurangkan kursus-kursus pegawai kerajaan di hotel-hotel? Bijak berbelanja dengan menghentikan atau mengurangkan perbelanjaan sambutan Hari Kemerdekaan, sambutan Aidilfitri, dan sambutan Rumah Terbuka Malaysia?
Juga disarankan supaya dikecualikan cukai pintu, cukai tanah, insurans kenderaan kepada mereka yang berpendapatan kurang RM1,000 dan mengikut bilangan anak. Di samping itu, disarankan juga supaya dikecuali yuran sekolah bagi mereka berpendapatan kurang RM1,000 dalam memastikan tidak seorangpun anak di Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, tercicir dalam pelajaran?
Semoga amalan bijak berbelanja ini dapat diamalkan oleh semua pihak untuk memastikan keseimbangan sosio-ekonomi masyarakat Malaysia bagi mengelak pelbagai gejala sosial dan jenayah.

