Saya merujuk kepada surat yang bertajuk Banteras ajaran sesat tanpa mengira bangsa, agama . Penulis surat tersebut telah menyarankan supaya diadakan satu forum interaksi antara agama untuk menentukan perundangan bagi pengawalan ajaran sesat.

Soalan saya ialah siapa yang mempunyai hak mutlak untuk menentukan agama ataupun ajaran mana yang sesat? Kepada yang mempercayai Tuhan, tentulah Tuhan sahaja yang mempunyai hak itu. Agama ini adalah satu soalan yang subjektif.

Misalannya, sebelum Majlis Vatikan II yang berlangsung dari tahun 1962 sehingga 1965, kebanyakan umat Katholik menganggap umat Protestan sebagai penganut ajaran sesat.

Falungong juga tidak dianggap sebagai ajaran sesat oleh sebahagian daripada penganut agama Buddha, bahkan ada yang tidak menganggapnya sebagai agama langsung dan cuma sebagai ajaran jasmani yang berteraskan rohaniah.

Jikalau hak untuk menentukan kesahihan sesesuatu agama ataupun ajaran diberi kepada pihak berkuasa, maka muncullah bahaya agama itu dijadikan alat politik bagi menguasai dan menghadkan hak pemikiran dan kebebasan rakyat.

Biarlah keputusan ini dibuat dari hati nurani seseorang itu sendiri.