Belasungkawa buat Kerk Kim Hock

       

Kerk Kim Hock telah meninggalkan kita semua pada 9 Ogos 2017, selepas tiga hari berada dalam keadaan tidak sedarkan diri (koma) kesan komplikasi pembedahan yang dijalankan pada Ahad.

Pemergian Kerk memeranjatkan semua orang kerana beliau kelihatan sihat dan dalam proses penyembuhan daripada penyakitnya.

Semasa menyambut ulang tahun kelahiran ke-61 baru-baru ini Kerk membuat permintaan untuk hidup sehingga berumur 70 tahun.

DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau. Kehilangan yang mereka hadapi bukan sekadar kehilangan peribadi, dan ia juga tidak dirasai DAP saja, sebaliknya merupakan kehilangan besar kepada negara dan rakyat Malaysia, terutama mereka yang tinggal di Melaka.

Untuk Kerk, seperti yang kami maklumkan, beliau adalah rakyat Malaysia yang sejati. Kerk sangat setia kepada keluarga dan rakan-rakannya seperti setianya beliau kepada DAP dan prinsipnya.

Walaupun bersikap tegas dengan prinsip keadilan, demokrasi, kebebasan dan kejujuran, Kerk membuat kawan dengan mudah dan mempunyai musuh yang sangat sedikit. Beliau adalah seorang ahli politik Malaysia yang jarang dikenali.

Itulah kualiti yang mula-mula menarik perhatian saya ketika mengenalinya di universiti. Kami merupakan penuntut Universiti Monash, Australia dan Kerk merupakan pelajar senior satu tahun kepada saya.

Saya telah memberikan sokongan penuh kepada Kerk untuk menubuhkan semula Persatuan Pelajar Malaysia Universiti Monash (MUMSU) yang telah diketuai oleh Marxists supaya menerapkan kesatuan itu menjadi lebih liberal dan demokratik, tidak tertumpu kepada ideologi politik sebaliknya kebajikan pelajar.

Kerk bijak berpolitik dan sangat menonjol. Kami menikmati kemenangan politik pertama bersama-sama ketika beliau mengalahkan penyandang presiden dan berjaya dipilih sebagai pemimpin baru dengan kemenangan besar.

Beliau enggan bertanding dalam pemilihan semula kemudiannya, malah menolak saya untuk mengambil alih tempat tersebut.

Kerk cukup mengagumkan saya. Ketika berjuang habis-habisan menentang lawannya, beliau masih boleh berkawan dengan mereka. Tidak ada sebarang perasaan kecil hati terhadap mereka.

Beliau sentiasa berusaha untuk memenangi hati mereka. Beliau kemudian membawa sifat itu ke dalam arena politik.

Kerk menegaskan berulang kali kepada saya bahawa parti dan prinsip kita hanya dapat diperkuatkan apabila lawan menjadi kawan dan sekutu.

Kekal bersama ketika gelita

Saya selalu berseloroh dengan memberitahunya, sifat itu bukan sahaja membantunya dalam politik, malah juga membantu memenangi hati isteri beliau.

Seperti ramai antara kita, Kerk menyertai parti kerana Lim Kit Siang atau Kit. Kerk seorang yang sangat bijak, cerdas, sensitif dan pintar menganalisis mood orang ramai.

Kit melihat potensi Kerk dan segera melatihnya untuk menjadi seorang pemimpin masa depan DAP.

Kerk sangat mempercayai integriti Kit dan percaya dengan implikasi pertimbangan politik Kit. Beliau memberitahu saya berulang kali bahawa beliau mungkin tidak sentiasa bersetuju dengan keputusan Kit, namun beliau sentiasa percaya Kit kerana sebarang penilaian yang dibuat selalunya sangat tepat.

Jadi tidak hairanlah sekiranya bukan hanya kami menangis ketika menerima berita pemergian Kerk, malah Kit juga turut menitiskan air mata secara terbuka di hadapan Penasihat Kebangsaan DAP, Dr Chen Man Hin.

Kerk telah menunjukkan kesetiaan dan keberaniannya dengan terus berada dalam DAP walaupun ketika parti menghadapi waktu paling gelapnya.

Beliau tidak meninggalkan parti walaupun menjadi sebahagian orang yang ditahan dalam Operasi Lalang mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987. Beliau kembali ke pucuk kepimpinan ketika saya dipenjarakan pada 1998 berikutan sabitan di bawah Akta Hasutan dan Akta Percetakan dan Penerbitan kerana mempertahankan seorang gadis Melayu yang diperkosa.

Kerk juga tidak meninggalkan parti ketika DAP mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan Kit dan pengerusi kebangsaan kami ketika itu - Karpal Singh - ditewaskan.

Sebaliknya Kerk telah mengambil alih jawatan sebagai setiausaha agung keempat DAP. Sepanjang tempohnya sebagai setiausaha agung, beliau telah membantu membina semula parti.

Kerk telah menggunakan kemahiran peribadinya untuk melibatkan diri dengan golongan muda serta berhubung dengan ahli-ahli lama.

Beliau telah melatih pemimpin muda untuk masa hadapan. Antaranya ialah setiausaha organisasi kebangsaan sekarang, Anthony Loke.

Pendorong kepada orang lain

Walaupun selepas bersara dari politik, beliau masih terus mengambil berat tentang parti dan berhubung dengan barisan pemimpin, memberikan nasihat yang tidak ternilai harganya.

Walaupun Kerk mungkin telah menang dan tewas dalam sebahagian pertempuran politik seperti kami, tetapi pertempuran beliau yang paling besar adalah melawan penyakit kanser yang dihadapinya.

Ketika disahkan menghidap kanser pada 2002, Kerk tidak berputus asa sehingga mampu melawan penyakit tersebut, sehingga dikesan semula pada 2015.

Pada masa itu, Kerk tidak pernah hilang keyakinan. Sokongan daripada rakan-rakan parti dan penyokongnya, kekuatan dalaman daripada keluarga yang sentiasa setia bersamanya, kasih sayang dan cinta yang membantu beliau mengharunginya.

Daya tahannya mendorong ramai orang yang menderita penyakit kanser untuk tidak berputus asa melawan penyakit tersebut, sebaliknya terus menikmati kehidupan yang berkualiti serta penuh kegembiraan.

Ketika Kerk berjuang untuk hidupnya, beliau tidak pernah berhenti mencintai keluarga, isteri yang setia dan anak-anaknya yang cemerlang. Dan beliau tidak juga berhenti mengambil berat tentang parti dan rakan-rakan.

Sepanjang beberapa bulan terakhir, Kerk masih berkongsi kebimbangan dengan kami, atau memberikan pandangan dari sisi-sisi politik yang mungkin kami terabaikan.

Keluarganya akan sangat merindui ayah dan suami mereka. Negara dan parti akan merindui Kerk. Dan kepada yang sangat mengenali beliau, kami akan sangat merindui rakan kami.

Akan terdapat kekosongan dalam hati setiap daripada kami untuk Kerk, namun kami akan mengisinya dengan memori serta kenangan paling indah semasa kami bersama beliau.

Kerk, selepas perjuangan yang panjang, saudara kini berhak untuk berehat. Semoga Tuhan memberkati saudara dan berehatlah dengan damai!


LIM GUAN ENG ialah ketua menteri Pulau Pinang, anggota parlimen Bagan merangkap setiausaha agung DAP.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda