Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyokong gesaan Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang meminta kerajaan mengkaji kadar gaji penjawat awam pada ketika ini.

Dalam Kongres Cuepacs yang berlangsung semalam, kesatuan itu meminta kerajaan mempertimbangkan insentif dua kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Bagi Pemuda AMANAH Nasional, penjawat awam pada ketika ini berdepan dengan situasi yang sangat mencabar disebabkan tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup kesan daripada kegagalan kerajaan mengurus tadbir negara dengan baik.

Kadar gaji yang mereka perolehi tidak lagi relevan dengan keadaan semasa negara terutama selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Kami berpandangan, pendapatan yang diperolehi penjawat awam khususnya kategori B40 melibatkan seramai 62,000 tidak selari dengan kos sara hidup.

Ia menyebabkan ramai daripada kalangan mereka terpaksa memikirkan sumber pendapatan sampingan bagi menampung kekurangan yang ada.

Suasana ini sangat tidak baik dan akan memberi kesan yang besar kepada kualiti kerja.

Nikmat wajar dinikmati bersama

Melihat kepada semua aspek, kami berasakan gesaan yang dibuat Cuepacs adalah sangat bertepatan dan wajar diambil perhatian oleh kerajaan.

Kami sangat yakin, kerajaan berkemampuan untuk melakukannya sekiranya pentadbiran negara bebas daripada rasuah dan penyelewengan.

Dalam perkembangan sama, Pemuda AMANAH Nasional juga menuntut agar kerajaan mengkaji semula kadar gaji minimum pekerja sektor swasta di negara ini.

Kami sangat mengambil perhatian serius kepada kelompok ini yang lebih merasai bebanan hidup ketika ini.

Kami mengharapkan kerajaan menetapkan gaji minimum yang wajar dan relevan dengan suasana semasa ekonomi di negara ini.

Pekerja sektor swasta pula sangat mengharapkan nasib mereka diambil perhatian yang setimpal.

Pakatan Harapan sangat komited untuk memastikan penjawat awam dan pekerja sektor swasta meraih pendapatan yang setimpal dengan kos kehidupan di negara ini.

Nikmat yang dikurniakan oleh Allah terhadap Malaysia wajar dinikmati bersama oleh seluruh rakyat dengan penetapan gaji yang sewajarnya.


MOHD SANY HAMZAN ialah Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS