Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuepacs minta k'jaan pertimbang insentif dua kenaikan gaji
Diterbitkan:  Sep 30, 2017 5:53 AM
Dikemaskini: 10:12 PM

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan insentif dua kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata inisiatif itu akan membantu meringankan beban penjawat awam yang berdepan kos sara hidup tinggi.

"Selain itu, Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula kadar elaun khidmat awam (bagi kumpulan paling rendah) yang kini sebanyak RM95. Kali terakhir elaun ini disemak adalah pada 2002.

"Sudah sampai masanya kerajaan menetapkan kadar minimum elaun ini sebanyak RM180. Ini cadangan Cuepacs," katanya dalam sidang media di ibunegara malam tadi.

Beliau berkata beberapa cadangan itu diharap diberi pertimbangan khusus menjelang Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (MAPPA XV) yang dijadual berlangsung pada 3 Oktober ini.

Kongres itu juga, menurut Azih memohon kerajaan mempertimbangkan untuk memperluas kenaikan pangkat secara 'time-based' kepada kumpulan penjawat awam lain.

"Time-based kali pertama telah dilaksanakan kepada kumpulan pelaksana. Time-based kali pertama, kedua dan seterusnya diberikan kepada kumpulan guru. Kita minta kumpulan-kumpulan bukan guru dan kumpulan dalam perkhidmatan awam yang lain dipanjangkan untuk time-based dalam tempoh terdekat.

"Diharap cadangan ini dipertimbangkan dan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun hadapan. Hanya majikan (kerajaan) yang boleh membantu penjawat awam untuk memastikan mereka bukan lagi berada dalam keadaan susah atau miskin," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS