Saya amat terkilan dengan layanan pengarah Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kedah ketika saya ingin menemui beliau pada jam 12 tengahari 26 Ogos 2005 bagi menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perlaksanaan kontrak di kampus tersebut.

Apa yang mendukacitakan, saya tidak dibenarkan menemuinya. Sebabnya, jika ingin berjumpa, kami perlu membuat surat yang menyatakan nama pengarah dengan jelas. Kenapakah berlaku birokrasi seperti itu, sedangkan saya jauh dari Kuala Lumpur untuk tujuan tersebut.

Saya tidak dibenar berjumpa dengan pengarah, sedangkan ketika itu beliau tidak mempunyai tetamu yang lain. Apa yang lebih menyedihkan ialah pengarah tersebut nampak kami di luar perkarangan bilik beliau dan, kami telahpun memaklumkan kepada setiausahanya untuk menemuinya.

Jawapan yang diterima ialah: jika ingin berjumpa dan berbincang dengan beliau, UiTM memerlukan surat yang tertera nama pengarah tersebut. Patutkah kami menerima layanan sedemikian rupa, hanya kerana pihak memerlukan surat atas namanyam sedangkan kami mahu berbincang mengenai beberapa perkara untuk kebaikan pelajar kampus itu sendiri.

Saya kemudiannya menemui timbalannya, itupun pada jam 5 petang kerana beliau menghadiri mesyuarat. Bagaimanapun, perbincangan dengannya tidak mendatangkan sebarang hasil kerana pegawai yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut ialah pengarah kampus itu sendiri.

Saya memang telah diingatkan oleh beberapa rakan perniagaan mengenai sikap pengarah terbabit. Bagaimanapun, saya tidak mempercayainya sehinggalah saya mengalaminya sendiri pada hari berkenaan.

Bayangkan jika seorang pak cik tua datang dari kampung pedalaman di Kedah yang ingin membincangkan perkara berkaitan dengan anaknya, tetapi disuruh menulis surat terlebih dahulu untuk berjumpa pengarah ... ahh ... malang sekali.