Pada 25 September lalu, saya berkesempatan menghadiri satu sesi taklimat di Dewan Serbaguna Wisma Negeri Seremban oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri Sembilan mengenai pandaftaran pengundi baru.

Menurut SPR, di Negeri Sembilan sahaja terdapat lebih 130,000 orang yang layak mengundi, tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

Walaupun SPR telah mengadakan kempen mendaftar pengundi sepanjang tahun, termasuk melalui pejabat pos, tetapi sambutannya adalah tidak menggalakkan. Oleh itu, usaha terbaru SPR sekarang ialah melantik petugas sementara dari kalangan ahli-parti politik di Malaysia untuk mencari pengundi baru.

Dalam taklimat tersebut juga, SPR memberitahu suruhanjaya itu mempunyai talian terus dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyemak butiran mereka yang mendaftar sebagai pemilih.

SPR dan JPN, sebagai sebuah agensi kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat, seharusnya memanjangkan kerjasama tersebut dengan mendaftar terus pengundi yang layak berdasarkan data dari JPN itu.

Dengan ini, rakyat Malaysia yang layak mengundi, tidaklah perlu lagi mendaftar dengan SPR. Sekiranya sistem ini diterimapakai seperti yang diamalkan di beberapa negara maju, maka rakyat Malaysia hanya perlu menyemak daftar mereka dengan SPR.

Sistem ini bukan sahaja memudahkan pengundi, malah akan menjimatkan masa, kos, tenaga pegawai SPR mencari pengundi baru, dan secara tidak langsung akan menjimatkan perbelanjaan negara dalam mengendalikan pilihanraya.