Pada jam 11 pagi 26 September lalu, Gerakan Mahasiswa Maju Universiti Putra Malaysia (GMMUPM) dan beberapa badan mahasiswa lain, mengadakan satu sidang akhbar mengenai pemulauan pilihanraya kampus pada hari ini.

Dengan sukacitanya saya ingin mengucapkan taniah kepada GMMUPM atas usaha dan keprihatinan mereka dalam isu-isu kampus, walaupun terpaksa bertukar tempat, akibat gangguan pihak Universiti dan segelintir kecil mahasiswa yang berkelakuan seperti samseng.

GMMUPM membuat keputusan untuk memulaukan pilihanraya kampus, yang menurutnya tidak adil, dengan alasan utama ialah perlaksanaan E-undi, yang didakwanya merupakan ancaman terkini terhadap hak mahasiswa.

Memandangkan penglibatan mahasiswa dalam isu-isu semasa sama ada di dalam dan luar kampus amat dialu-alukan, maka usaha mengadakan sidang akhbar itu oleh persatuan mahasiswa yang berperanan sebagai perintis dalam kampus, amat saya hargai.

Sidang akbar yang diadakan di kafeteria Falkuti Ekonomi dan Pengurusan itu, sebenarnya dijalankan dengan aman, tanpa sebarang kekecohan. Akan tetapi ia telah disabotaj oleh pihak universiti dan segelintir mahasiswa tersebut.

Pada mulanya, dua orang yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai keselamatan telah menghalau para wartawan keluar dari tempat itu dengan kasar. Seorang daripadanya juga mahu merampas kamera wartwan ( malaysiakini ) dengan keras, semasa wartawan tersebut merakamkan gambar tindakan kasar mereka.

Seterusnya segelintir mahasiswa muncul serta bersorak dengan kuat untuk menakut-nakutkan para mahasiswa yang lain. Seterusnya mereka pula bernyanyi dengan kuat. Seorang daripada mereka menghentak meja dengan kuat dan bersorak dengan kata-kata yang kasar. Kesemua ini berlaku di depan mata pegawai keselamatan berkenaan.

Tetapi, pegawai keselamatan berkenaan tidak mengambil apa-apa tindakan dan ada yang bersenyum dan berdiam diri sahaja. Berikutan itu, GMMUPM terpaksa memindahkan tempat sidang akhbar ke kawasan flat lama. Semua wartawan turut ke sana. Ada sesetengah wartawan yang tidak berpuas hati dengan tindakan mereka itu. Setelah sampai ke sana, sidang akhbar tersebut dapat diteruskan dan berakhir kira-kira pukul 1 tengahari.

Saya sedih serta gembira dengan apa yang berlaku. Yang menggembirakan ialah mahasiswa UPM menjadi semakin gagah dan berani mengutarakan suara dan tuntutan mereka, manakala yang menyedihkan ialah ketidakadilan pihak universiti dan segelintir mahasiswa yang bertindak secara tidak rasional dan memalukan.