Siapa sebenarnya berkuasa di Kementerian Pengajian Tinggi?
Terlalu banyak yang diperkatakan dalam media elektronik mengenai pilihanraya kampus tahun ini. Yang paling mengecewakan ialah semua pihak menunding jari kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh dengan pelbagai tohmahan.
Sebagai orang yang sering mengikuti perkembangan dan perjalanan pilihanraya kampus, saya amat berharap agar semua pihak tidak salah sangka dan salah anggap bahawa segala kejadian dan kelemahan yang ditonjolkan itu, adalah hasil keputusan Menteri.
Hampir semua keputusan berpunca dari seorang pegawai yang baru dilantik di Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) yang merasakan beliau ketua segala-galanya, malahan mengatasi naib canselor, timbalan naib canselor dan ketuanya sendiri iaitu Ketua Pengarah JPT sendiri.
Kami tahu, pegawai itu dilantik bukan kerana merit tetapi kerana pembabitannya dalam Umno. Di Kementerian Pengajian Tinggi (KMT), beliau telah bertindak menjangkau 'bidangkuasanya', mengatasi semua ketua jabatannya sendiri. Kadangkala saya percaya menteri sendiri tidak tahu pun apa yang berlaku dan yang dilaksanakan oleh pegawai berkenaan.
Tali yang diberikan terlalu panjang. Semua surat arahan ditandatangannya sendiri, tanpa merujuk kepada pegawai atasannya. Ini menimbulkan kecelaruan dan kebingungan teramat sangat.
Kini di UKM berlaku pergolakan yang ketara di mana terdapat tiga pihak bertanding. Kumpulan Aspirasi berpecah dua dan amat malang sekali, ia mungkin memberi peluang kepada Kumpulan Idealis untuk mencapai kemenangan.
Kerana terdesak, kami percaya permainan kotor akan berlaku di UKM dan kesan buruk akhirnya akan dilemparkan kepada menteri. Kami berasa sedih melihat menteri menjadi sasaran, semata-mata kerana tindak-tanduk pegawai berkenaan.
Dia pernah bertelagah dengan Naib Canselor UKM dan mengatasi Timbalan Naib Canselor HEP sendiri dalam segala perjalanan pilihanraya di UKM. Malang sekali bagi UKM.
Tidak pernah Aspirasi berpecah seperti ini di UKM. Ada kumpulan kroni pegawai berkenaan dan ada pula yang Aspirasi "tulen" yang memperjuangkan matlamat universiti.
Kalau menangpun, bukan kerana Dr Mohamad Husain, tetapi kerana mahasiswa UKM memberi penghormatan kepada naib canselor dan timbalan naib canselor HEP mereka. Kami amat berharap kedudukan pegawai ini di JPT dikaji semula oleh pihak menteri agar nama baik beliau sendiri dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak terus tercemar.
Kedudukan hirarki pegawai itu bukan mengatasi naib canselor, timbalan naib canselor atau ketua pengarahnya. Dia hanyalah pelaksana dan mengikut saja arahan ketua-ketua Jabatan, bukan sebaliknya.

