Paling Popular
Terkini

Pihak-pihak berkaitan, khususnya pihak berkuasa tempatan perlu giat melakukan pemantauan dan pemeriksaan semua jenis pokok dan tanaman di tepi jalan supaya selamat dari risiko kemalangan.

Saranan ini dibuat susulan insiden terbaru sebuah pokok tumbang di simpang Jalan Ampang-Yap Kwan Seng berhampiran KLCC pada pagi Isnin yang mencederakan seorang penunggang dan pembonceng motosikal.

Dalam kejadian itu juga, sebuah kereta dilaporkan dihempap tetapi pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Insiden ini bukanlah tragedi yang jarang kita dengar dalam negara kita.

Pada tahun lalu, kita telah dikejutkan dengan insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan seorang pelajar tingkatan lima di Melaka yang maut akibat dihempap dahan pokok.

Difahamkan mangsa, Muhammad Nordanial Mohd Khir, 17 tahun, dari rumah di Taman Kelubi, Jasin, dalam perjalanan ke sekolah sebelum dihempap dahan pokok sejurus tiba di tempat kejadian.

Mangsa yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian seperti ini tidak boleh dipandang ringan semua pihak kerana ia melibatkan nyawa orang ramai khususnya para pengguna jalan raya termasuk penjalan kaki.

Walaupun proses penanaman pokok di sekitar jalan raya boleh membawa pelbagai faedah seperti membendung kejadian alam yang lebih buruk – seperti banjir kilat dan menjadikan suasana jalan raya lebih tenang – sekiranya ia tidak dijaga sudah pasti mengundang bahaya.

Sebagai sebuah negara tropika serta mempunyai jumlah tadahan hujan yang tinggi, Malaysia juga terdedah dengan pelbagai jenis cuaca tidak menentu.

Ia menjadikan pokok-pokok lebih berbahaya.

Memandangkan jumlah pokok di tepi-tepi jalan raya negara kita jumlahnya banyak, amat sukar untuk pihak berkuasa tempatan melakukan tugas dengan sempurna.

Oleh itu, sewajarnya kerajaan mempertimbangkan mewujudkan unit khas bagi melakukan proses pemantauan.

Pada masa yang sama, kerajaan juga boleh mempertimbangkan bagi mewujudkan undang-undang khas bagi menentukan jenis pokok yang ingin ditanam terutamanya
di kawasan berisiko tinggi.

Lihat Komen
ADS