Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perintah pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) adalah salah satu contoh salah guna kuasa oleh BN demi mengekang tsunami rakyat dan tsunami Melayu yang bakal dibawa BERSATU dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia juga menunjukkan betapa Umno kini berada dalam keadaan takut dan tidak mampu untuk berlawan secara adil dan budiman dalam PRU14 nanti.

Tindakan ini datang selepas usaha-usaha terdesak dan tidak ‘jantan’ mereka seperti menggunakan ROS untuk tidak meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan (HARAPAN); menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penggunaan gambar Dr Mahathir dalam kempen, persempadan semula demi memberikan kelebihan kepada BN melalui usaha ‘gerrymandering’, dan kelulusan tergesa-gesa Akta Antiberita Tidak Benar; selain usaha berterusan penyebaran fitnah terhadap pihak HARAPAN melalui media arus perdana.

Kesemua ini menunjukkan BN dan Umno sudah tidak mampu lagi untuk berlawan secara adil dan saksama dalam pilihan raya, malah sanggup menyalahgunakan semua institusi yang ada demi meneruskan agenda kezaliman mereka.

Demi mengembalikan integriti dan ketelusan institusi-institusi tersebut, dan mengembalikan semula maruah serta kuasa rakyat, rakyat Malaysia berbilang kaum diseru agar bangkit untuk memberikan noktah kepada pemerintahan Umno dan BN di dalam PRU14 kali ini.

Bersama gerakkan tsunami rakyat dan tsunami Melayu demi menghumbankan BN-Umno untuk menjadikan mereka pembangkang selepas PRU14 nanti.


DR MASZLEE MALIK ialah bekas ahli akademik yang kini menyertai BERSATU.

Surat ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS