Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kampong Baru dan Titiwangsa adalah lokasi sejarah kebangkitan rakyat dan reformasi bergema.

Di situlah bermulanya kisah perjuangan panjang para wira tidak didendang melawan rejim bobrok yang kini bergelar kleptokrat.

Di situlah segala keringat dan air mata menitis, darah mencurah dan peluh membasahi bumi demi menegakkan keadilan.

Kebangkitan yang tiada taranya mengumpulkan jiwa yang ikhlas dengan semangat juang yang mahu menuntut perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Saya beruntung kerana terlibat dengan agenda kebangkitan ini seawal usia 14 tahun. Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri, ibu bapa saya memilih untuk meninggalkan Umno lalu menubuhkan Parti Keadilan Nasional (PKN) di Titiwangsa pada 1999.

Rumah kami di Jalan Raja Muda Musa, Kampong Baru bertukar menjadi markas pejuang dan marhaen. Di situlah juga bendera PKN berkibar megah buat pertama kalinya di Titiwangsa.

Di situlah bermulanya detik saya mengenal politik marhaen, politik rakyat, politik kebangkitan, politik jalanan dan resam perjuangan.

Saya tidak malu mengaku kepada umum bahawa saya bersekolah politik di atas jalan, belajar bahasa politik di kaki lima, membesar dan naik bertangga.

Kini saya bangga kerana agenda keadilan meluas dan diiktiraf ke seluruh pelusuk tanah air.

Termasuk Tun Dr Mahathir Mohamadyang dahulunya dilawan, kini rakan yang mendukung agenda reformasi dan perubahan.

Titiwangsa kini dikuasai rejim kleptokrat Umno dan BN. Walaupun menang dengan majoriti tipis, namun mereka bertempik sorak seolah-olah kuat seantero Malaya.

Akur beri kepada sahabat

Sebenarnya Umo tidak sekuat mana. Jiwa kental para pejuang reformis masih tertanam kuat di kampung-kampung dalam Titiwangsa.

Kedatangan rakan sekutu yang diketuai Dr Mahathir diterima dengan tangan yang terbuka. Beliau kami raikan sehingga ke tahap kami berikan bendera PKR sebagai baju perisai perjuangan buat para rakan.

PKR beralah walau kami punya sejarah panjang perjuangan di Titiwangsa, namun akhirnya kami akur menyerahkan Titiwangsa kepada sahabat sekutu untuk ditandingi.

Saya juga turut akur. Tetapi itu tidak bermakna bahawa saya harus menjadi patung pegun berpeluk tubuh.

Saya laungkan, saya sarankan dan saya cadangkan agar pendekar yang bakal diturunkan ke gelanggang pertaruhan pilihan raya benar-benar mantap dengan memahami isi kalbu kami di Titiwangsa.

Untuk memberikan cabaran awal kepada BN biarlah saya yang terjun ke gelanggang terlebih dahulu bagi melawan rejim Umno dengan membangkitkan permasalahan setempat dan masyarakat.

Saya serang mereka dengan fakta kelemahan dan kegagalan mereka yang akhirnya menjadi wadah sebutan marhaen di kedai-kedai kopi jalanan di Titiwangsa.

Saya bergerak dan bertemu akar umbi, pujuk dan rayu supaya mereka menerima perjuangan Pakatan Harapan (HARAPAN). Walau saya diserang teruk oleh mno saban hari, tetapi itu tidak menjadi soal besar buat diri saya.

Dengan segala keringat dan kepayahan, saya pastikan mereka tidak berasa selesa dengan kuasa yang memabukkan. Saya pamerkan kekuatan bahawa kita bersedia untuk lawan dan tawan rejim mereka.

Justeru saya pohonkan supaya HARAPAN menurunkan pendekar yang tepat untuk bertarung melawan rejim kleptokrat di Titiwangsa.

Kalau hulubalang, biarlah mahir bermain keris dan lembing. Kalau pendekar, biarlah tangkas berpencak berbuah silat.

Janganlah diturunkan pendekar tangkap muat yang hanya segak berpakaian panglima, namun tiada ilmu di dada. Pegun untuk menyerang dan gagal tepis menepis. Ditanya mana pokok manggis, ditunjuk pokok durian.

Semoga HARAPAN beroleh kemenangan di Titiwangsa. Saya akan bersama-sama menggembleng tenaga dan daya usaha untuk menumbangkan rejim yang bermaharajalela sekian lama.


SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah anak reformis merangkap penolong setiausaha Pemuda PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS