Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Manifesto BN adalah bukti betapa Datuk Seri Najib Razak tidak mahu melaksanakan apa-apa reformasi pada institusi negara. Ia juga menjadi bukti betapa Najib 'beriman' bahawa duit adalah raja.

Reformasi institusi adalah keperluan mendesak jika kita mahu menjamin masa depan negara. Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga pernah menyatakan bahawa Malaysia perlu memperbaiki tadbir urus negara dan mengurangkan campur tangan kerajaan dalam sistem ekonomi.

Penambahbaikan yang sebenar hanya berlaku jika kita memperbaiki kualiti institusi pentadbiran dalam negara agar integriti undang-undang dapat dijamin.

Rasuah dan ketirisan yang berleluasa yang berlaku sekarang hanya boleh dibaiki jika institusi penting seperti badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), badan perundangan, badan-badan penyiasat, dan lain-lain lagi, diperbaiki.

Pakatan Harapan (HARAPAN) memberi penekanan kepada reformasi institusi dalam manifesto kami.

Kami mempunyai pelbagai janji untuk menambah baik institusi-institusi penting dalam pentadbiran negara, termasuklah SPRM, Pejabat Peguam Negara, kehakiman, polis, tentera, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kami maklum mengenai keperluan dasar ekonomi dan kebajikan yang bagus. Tetapi beza antara kami dan Najib ialah kami yakin bahawa pertumbuhan ekonomi yang adil dan seimbang hanya akan mampan jika institusi pentadbiran negara juga baik.

Walaupun media arus perdana dan media milik kerajaan disalah guna untuk kepentingan parti, hakikatnya kandungan manifesto BN adalah mengecewakan.

Ia mengandungi janji-janji yang sudah biasa kita dengar, iaitu lebih banyak gula-gula dengan harapan rakyat akan terlupa skandal mega yang menyelubungi Najib dan orang-orangnya.

Jumlah wang yang diberikan kepada individu rakyat sebenarnya adalah jauh amat kecil berbanding jumlah wang yang dirompak.

Manifesto BN adalah satu lagi bukti betapa Umno dan BN telah hilang arah. Hari ini, mereka hanyalah satu kapal untuk membantu Najib kekal berkuasa dengan cara menghalang berlakunya apa-apa reformasi institusi yang tulen.

Ini boleh difahami kerana reformasi institusi yang tulin mungkin akan menyebabkan beberapa pemimpin Umno terhumban ke penjara.


WAN SAIFUL WAN JAN ialah timbalan ketua Biro Strategi dan Polisi BERSATU.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS