Paling Popular
Terkini

Suara rakyat akhirnya mengakhiri pemerintahan Barisan Nasional setelah berdekad lamanya, ini membuktikan bahawa kuasa politik tanahair sebenarnya terletak di tangan rakyat.

Kajian dan statistik ahli-ahli akademik sekalipun tidak mampu meramal gelombang perubahan ini, saya mengucapkan tahniah kepada semua masyarakt Malaysia kerana melakukan peralihan kuasa dengan penuh kematangan, aman dan damai.

Semoga perubahan yang dikatakan era baru dalam dunia politik negara kita memberikan pedoman kepada kerajaan baru agar bekerja untuk rakyat lantas melaksanakan semua janji – janji mereka ketika pilihan raya.

Jika dilihat dari satu sudut kerajaan yang mempunyai komposisi wakil rakyat paling ramai, mempunyai kelebihan dalam melaksanakan dasar-dasar pentadbiranya.

Namun, di sudut lain ketiadaan pakatan pembangkang untuk mengimbangi senario ini seola-olah memberikan kuasa mutlak kepada kerajaan memerintah.

Pakatan pembangkang berperanan menegur dan mengingatkan pemerintah jika difikirkan ada dasar serta sistem pemerintahan yang tidak sesuai dan lebih kepada menguntungkan sesetengah pihak melebihi kepentingan rakyat.

Dalam erti kata lain, mengelakkan pemerintah menyalahgunakan kuasa sekaligus memperbaiki dasar-dasar pemerintahan demi keutamaan rakyat.

Sabah umpamanya, jika diimbas kembali komposisi dewan undangan negeri sesi yang lepas kita hanya mempunyai beberapa pihak yang membangkang.

Seringkali suara kecil ini tidak mendapat perhatian kerajaan memerintah walaupun suara yang diketengakan itu adalah hasil dari luahan rakyat.

Lazimnya gajah pasti akan mengalahkan semut, namun sekiranya semut-semut kecil ini bekerjasama nescaya gajah besar itu pasti mendengar dan mengalihkan belalai atau paling tidak mengibarkan telinganya.

Bukan kerajaan lama 

Perpindahan ahli-ahli dewan undangan negeri yang kini membangkang ke parti gabungan pemerintah berterusan dengan pelbagai justifikasi, apakah kita bakal melihat corak pemerintahan lama yang sudah tidak mendapat kepercayaan rakyat.

Aspirasi rakyat mahukan pemerintah yang baru, bukan kerajaan lama memerintah dalam gabungan parti baru.

Bagi mengelakkan kepincangan perlaksanaan manifesto kerajaan kini, adalah wajar semua kepimpinan lepas melalui lantikan politik, diganti dengan pimpinan baru sesuai dengan kehendak rakyat yang mahukun perubahan tuntas di peringkat pimpinan.

Pemilihan secara demokratik juga harus dilaksanakan dalam proses menentukan pimpinan akar umbi baru, agar pimpinan tersebut bukan saja dapat menyampaikan wawasan kerajaan bahkan mendapat mandat serta kepercayaan rakyat.

Walaubagimanapun, satu garis panduan dan kelayakan pemimpin peringkat akar umbi ini harus dirangka sesuai dengan hasrat kerajaan dan rakyat.

Kerajaan terkini juga harus bersikap adil dan terbuka dengan menyalurkan peruntukan pembangunan kepada semua kawasan sama ada kawasan tersebut diwakili pembangkang atau sebaliknya.

Peruntukan seharusnya disalurkan terus kepada agensi-agensi kerajaan seperti dewan bandaraya, majlis daerah, dan pejabat daerah. Jawatankuasa perlaksana dana pembangunan yang dianggotai oleh wakil rakyat dan pegawai – pegawai kerajaan tertentu juga harus ditubuhkan demi mengelak ketirisan serta memantapkan lagi perkhidmatan kepada rakyat.

Langkah ini bukan saja dapat membendung tindakan lompat parti yang sering menjadi alasan wakil – wakil rakyat, malah menggalakan pertumbuhan ekonomi yang sihat di setiap kawasan berkenaan.

Akhir sekali, kemelut kepimpinan negeri ini harus diselesaikan dengan berhemah, “Bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak”. Kita tidak mahu perkara seperti krisis perlembangan berlaku dalam negeri yang kita cintai ini.

Kita lupakan perbalahan lepas, mari maju dengan kepimpinan pilihan rakyat, kerana percayalah jika pemerintah kini tidak melaksanakan janji – janji mereka, rakyat pasti akan bersuara, laungan suara yang mungkin lebih lantang.

Para pemimpin teruskanlah berjuang demi kepentingan rakyat. Gerakan Belia 1Malaysia sentiasa menyokong mana-mana kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat.


TONNY CHEE merupakan seorang pengamal undang-undang dan aktivis sosial yang bergiat aktif di Kota Kinabalu, Sabah.

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS