Di akhir-akhir ini, agenda perjuangan Melayu menjadi topik perbualan di mana-mana dari persidangan di Parlimen hinggalah di kedai-kedai kopi. Namun permasalahan orang Melayu tidak banyak berubah.

Orang Melayu menjuarai segala statistik yang ada, baik dari sudut penagihan dadahnya, pembuangan bayinya, penganggurannya, hinggalah ke soal pendidikan di peringkat sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat pengajian tinggi.

Melayu tidak dapat dipisahkan daripada Umno dan PAS, walaupun tidak semua ahli Umno adalah orang Melayu atau beragama Islam dan tidak semua pula ahli PAS pula adalah orang Melayu. Akan tetapi, majoriti ahli Umno dan PAS adalah orang Melayu.

Tidak dapat tidak, pembelaan nasib orang Melayu sering diketengahkan oleh kedua-dua parti ini. Pembelaan nasib orang Melayu ini bukanlah bererti mengenepikan pembelaan nasib orang bukan Melayu kerana setiap kaum di Malaysia ini ada parti atau persatuan yang memperjuangkan nasib mereka.

Pembelaan nasib orang Melayu yang teruk terlibat dalam dadah, secara tidak langsung, membantu kaum lain juga. Jika kadar penagihan dadah dapat dikurangkan, maka segala bentuk jenayah yang berkaitan dengan dadah, akan berkurangan.

Dan ini memberi manafaat kepada semua kaum, kerana jenayah tidak mengenal mangsa mereka. Peragut akan meragut mangsa yang memakai rantai leher, tidak kira mangsa tadi bangsa Melayu, Cina atau India.

Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi tulen, haruslah mempunyai parti-parti politik yang bersaing untuk memajukan masyarakat, bukannya mengambil sikap bermusuhan antara satu sama lain. Begitu jugalah dengan parti-parti politik yang majoriti ahlinya orang Melayu.

Persaingan ini haruslah berjalan dengan mengambil sikap siapa yang terbaik untuk memberi khidmat kepada masyarakat tanpa memperlekehkan usaha yang diambil oleh pihak yang lain.

Kita mempunyai "kek" yang begitu besar untuk dikongsi bersama. Akan tetapi "kek" yang besar ini bukanlah dalam bentuk kekayaan. Ianya adalah dalam bentuk penyakit sosial, jenayah, pengangguran, kemiskinan dan seterusnya.

Apabila sikap persaingan yang sihat di antara Umno dan PAS ini semakin rancak dan diketepikan sikap bermusuhan atau menidakkan peluang antara satu sama lain untuk berbakti kepada masyarakat, maka lama kelamaan masalah yang melanda orang Melayu akan dapat diselesaikan secara lebih berkesan walaupun bukannya di atas pentas politik yang sama.

Seandainya Umno menafikan kehadiran PAS di tengah-tengah masyarakat dan begitu juga dengan PAS, maka sikap itu akan hanya menjauhkan lagi usaha untuk menyelamatkan bangsa Melayu ini daripada terjebak ke kancah gejala sosial, penagihan dadah, pengangguran dan perceraian.

Apakah Umno dan PAS hanya boleh bertemu apabila ada majlis pengkebumian di kalangan pemimpin atau anggota keluarga pemimpin mereka sahaja?