Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Kedaulatan mesti berpaksikan keadilan, bukan sentimen pelabur

Hisbah mengalu-alukan langkah Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam mendedahkan penyelewengan lalu.

Langkah ini perlu demi menegakkan keadilan dan melaksanakan prinsip penting dalam Islam iaitu melaksanakan hukuman terhadap penjenayah lebih-lebih lagi jenayah yang melibatkan wang rakyat dan khazanah negara.

Banyak peristiwa dan riwayat di zaman Rasulullah SAW dan khulafah rasyidun yang mempamerkan sikap tegas mereka terhadap penjenayah yang mencuri wang negara.

Alasan apapun tidak boleh digunakan untuk menangguh usaha menegakkan keadilan, menghukum penjenayah dan mencari semula harta negara yang dicuri.

Kebimbangan ia memberi kesan negatif kepada pelabur dan keyakinan mereka lahir dari paradigma yang salah.

Itu adalah paradigma lama yang meletakkan kedaulatan ekonomi kepada pelabur di tempat tertinggi.

Dalam Islam kedaulatan ekonomi dan politik mesti berpaksikan kepada prinsip keadilan dan bukan kepada sentimen pelabur mahupun rakyat.

Langkah dan tindakan berasaskan setimen dan persepsi adalah sesuatu yang salah, tidak berasaskan nilai integriti dan lahir dari kurang keyakinan kepada diri sendiri dan dalam konteks ini fundamental ekonomi negara.

Pentadbiran kerajaan baru mesti tetap teguh melangkah berpaksikan keadilan, yakin kepada keutuhan ekonomi negara dan harus tetap percaya akhirnya usaha-usaha yang adil dan saksama akan membina keyakinan terhadap ekonomi dan kedaulatan negara.

Justeru Hisbah menyeru menteri kewangan hari ini bawah pimpinan PM Tun Mahathir Mahathir meneruskan usaha membongkar setiap sen wang negara yang dicuri dan diselewengkan tanpa kompromi sama sekali.


DATUK MOHAMAD EZAM MOHD NOR ialah pengerusi Hisbah.

Tulisan ini tidak semestinya pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS