Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Surat
Keganasan bukan jalan selesai isu tanah adat orang asli

Saya dimaklumkan bahawa sekumpulan lelaki dengan membawa mesin gergaji memusnahkan tapak blockade Kaleg di Pos Tohoi, Gua Musang 4 Ogos lalu kira-kira jam 6 petang dan menuju ke dalam kawasan ladang buah-buahan seluas 400 hektar yang dikendalikan oleh beberapa syarikat.

Saya terkejut dengan serangan ganas terhadap sekatan yang aman. Adalah bernasib baik kerana orang asli tidak menentang dan tiada kecederaan fizikal atau kehilangan nyawa berlaku.

Saya menganggap serangan ini dicetuskan oleh syarikat-syarikat perladangan itu sendiri kerana tiada pihak lain yang mempunyai motif untuk melakukannya.

Saya amat terkejut dengan serangan secara tiba-tiba ini sedangkan dalam masa yang sama, saya telah menerima surat daripada dua syarikat memohon saya untuk membantu pekerja mereka untuk keluar masuk kawasan yang mereka usahakan bagi tujuan mengutip hasil perladangan.

Surat-surat tersebut diserahkan berikutan perjumpaan saya semasa lawatan saya ke Gua Musang pada hari Khamis bersama wakil-wakil syarikat yang telah diberi kebenaran oleh kerajaan negeri Kelantan untuk membuka ladang di tanah yang juga dituntut tanah adat oleh masyarakat orang asli di sana.

Saya juga telah memaklumkan kepada masyarakat orang asli di blockade Kaleg mengenai perkara ini dan mereka memberitahu saya bahawa mereka bersedia untuk mempertimbangkannya.

Ketelusan surat-surat ini yang dihantar oleh syarikat-syarikat perladangan Fleet Precision Sdn Bhd dan KPG Maju Enterprise Sdn Bhd jelas kini dipersoalkan melihat apa yang terjadi semalam.

Saya difahamkan masyarakat orang asli telah membuat laporan polis mengenai serangan itu. Saya yakin bahawa polis akan menyiasat semua kesalahan jenayah yang dilakukan semasa serangan dan juga mengekalkan ketenteraman awam di kawasan blockade.

Justeru, saya menasihatkan semua pihak yang berkepentingan bahawa keganasan bukanlah cara untuk mengatasi masalah percerobohan terhadap tanah adat orang asli.

Syarikat-syarikat yang terlibat juga perlu mengkaji dan guna proses undang-undang untuk menyelesaikan masalah sekatan untuk keluar masuk ke ladang mereka.

Dalam pada masa yang sama, saya akan terus berhubung dengan semua pihak untuk mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah sekatan keluar masuk ke ladang dengan segera.

Kerajaan persekutuan akan terus memberi tumpuan kepada penyelesaian jangka panjang untuk melindungi tanah adat orang asli, iaitu mengukur dan mewartakan tanah tersebut.


Sivarasa Rasiah merupakan timbalan menteri Pembangunan Luar Bandar.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS