Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Tajuddin, Annuar perlu henti main kad perkauman
Diterbitkan:  Aug 7, 2018 10:36 AM
Dikemaskini: 2:46 AM

Dua video yang menjadi tular baru-baru ini menunjukkan seorang mantan menteri dan timbalan Menteri kerajaan BN yang lepas membuat ucapan, dipercayai pada pilihan raya kecil Sg Kandis yang baru selesai.

Ucapan tersebut berunsur perkauman, kebencian dan hasutan terhadap satu kaum yang boleh menyebabkan gangguan awam, ketidakharmonian kaum dan mengancam keamanan dan keselamatan negara.

Patriot mengambil pandangan yang serius terhadap ucapan yang dibuat oleh kedua-dua ahli politik Umno itu dan menggesa mereka tidak mengulangi ucapan sedemikian di masa hadapan yang mana boleh membawa malapetaka kepada keharmonian kaum dan terhadap keamanan dan keselamatan negara.

Kedua-dua ahli politik Umno yang dimaksudkan adalah Annuar Musa dan Tajuddin Abdul Rahman.


Baca: Annuar Musa pancing pengundi Sg Kandis dengan sajaknya


Jika ucapan mereka bertujuan mendapatkan sokongan pengundi untuk calon BN, maka keputusan pilihan raya kecil itu sudah tentu mengecewakan mereka kerana pengundi yang kebanyakannya orang Melayu tidak lagi mudah termakan dengan hujah dan pernyataan yang digunakan oleh kedua-dua ahli politik Umno itu semasa berkempen.

Jelas Umno masih belum belajar daripada kesilapan mereka di mana cita rasa masyarakat Malaysia hari ini tidak lagi berpaksikan perkauman dan ketaksuban tetapi yang berhajatkan kepada perpaduan nasional dan keharmonian.


Baca: Orang Kristian sudah ambil alih Putrajaya


Malaysia mempunyai rejim yang pernah memerintah negara untuk tempoh yang tidak terputus selama hampir 60 tahun.

Mantera kaum dan agama yang sering dimainkan, telah mengekalkan rejim Umno berkuasa, mengekalkan sokongan daripada satu kaum dengan memainkan sentimen mereka tetapi mengasingkan masyarakat lain.

Adalah jelas bahawa kedua-dua ahli politik Umno yang berkempen untuk calon BN semasa pilihan raya kecil Sg Kandis tidak menghayati isu sebenar yang membelenggu para pengundi dan persoalan keperluan asas mereka.

Patriot berpendapat bahawa orang Melayu tidak lagi mudah tertipu, sebaliknya mereka mampu berfikir.

Kepimpinan Umno mesti menerima hakikat ini jika parti itu mahu kekal relevan dalam pilihan raya umum akan datang.

Tidakkah Umno belajar daripada pengalaman pahit mereka semasa PRU 14 baru-baru ini? Apakah mereka masih tidak mengetahui apa yang menyebabkan kekalahan mereka?

Kepada pemimpin parti seperti Annuar Musa dan Tajuddin Abdul Rahman, nasihat kami kepada mereka adalah supaya menghentikan bermain kad perkauman dan agama, seperti apa yang mereka lakukan di Sg Kandis jika mahu Umno kekal relevan.

Kedua-dua mereka mesti belajar untuk menyesuaikan diri dengan peredaran masa.


BG DATUK MOHAMED ARSHAD RAJI (B) Merupakan presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS