Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Annuar Musa 'pancing' pengundi Sg Kandis dengan sajaknya

SG KANDIS | Mungkin ramai tidak tahu Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa memiliki bakat terpendam yang jarang-jarang dipertontonkan di tengah khalayak.

Pertama kali turun berkempen sebagai pembangkang di Sungai Kandis, Annuar mendeklamasikan sajak hasil nukilannya sendiri.

Anggota parlimen Ketereh itu yang turun berkempen bagi calon BN Datuk Lokman Noor Adam berkata, sajak itu ditulis semasa perjalanan menuju sesi ceramah di daerah mengundi Jalan Kebun malam ini.

"Tadi saya dengar ada orang bersajak, saya pun nak baca sajak.

"Kita santai-santai malam ini," kata Annuar.

Dalam sajak berjudul "Ku Punya Malaysia Baru" itu, Annuar menyindir dasar Pakatan Harapan (HARAPAN) yang didakwanya dipengaruhi unsur-unsur komunisme, sosialisme, LGBT dan bahkan Syiah.

Antara baitnya berbunyi:

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.

Penyokong pengganas, menjadi menteri; Pembela Chin Peng menjadi AG; Yang menyokong murtad, berjawatan tinggi.

Yang menolak hadis, berkuasa kembali; Yang homoseksual akan ke mari; Yang LGBT makin menjadi.

Di awal sesi ceramah malam ini, sebuah lagi sajak berjudul "Janji Tinggal Janji" turut dibacakan untuk mengingatkan pengundi-pengundi Sungai Kandis tentang senarai janji HARAPAN yang belum ditunaikan.

"Saya tak pernah bersajak," kata Annuar yang mendeklamasikan sajaknya di hadapan kira-kira 100 penyokong BN.

Secara berseloroh, Annuar berkata sudah menjadi kebiasaan ahli politik untuk berceramah, tetapi malam ini beliau memilih untuk membaca sajak.

Sebelumnya, Annuar memulakan ucapan pada kira-kira jam 11 malam dan dengan nada lantang mengingatkan pengundi-pengundi di Sungai Kandis tentang tanggungjawab mereka mengundi calon yang dapat mempertahankan hak mereka. 

Berikut sajak penuh yang dikarang Annuar:

Ku Punya Malaysia Baru

Ku punya Malaysia Baru.

Kini ku punya Malaysia Baru, Yang tidak seperti dulu.

Yang Melayunya bersatu, Yang semua kaum berharmoni selalu, negeri pun jadi maju.

Kini ku punya Malaysia baru, Yang tidak seperti dulu.

Kuasanya tidak di tangan Melayu, Orang DAP menjadi penentu.

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.

Orang lain dikira tuan, orang Melayu dikira pendatang, para komunis dianggap pejuang.

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.

Penyokong pengganas, menjadi menteri; pembela Chin Peng menjadi AG; Yang menyokong murtad, berjawatan tinggi.

Yang menolak hadis, berkuasa kembali; Yang homoseksual akan ke mari; Yang LGBT makin menjadi.

Raja dan sultan bahan dimaki, ideologi komunis nak jadi buku mengaji.

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.

Yang Syiah menjadi menteri, Yang Sosialis duduk tinggi; Yang Islam jadi minoriti, Yang berkuasa adalah DAP.

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.

Lihat Komen
ADS