Surat Malaysiakini

Majlis Penasihat Pendidikan gagal tunjukkan kepelbagaian

Muhammad Faisal Abdul Aziz  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius pelantikan anggota dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang gagal menunjukkan kepelbagaian dalam kerangka mencapai matlamat dasar pendidikan kebangsaan.

ABIM menegaskan bahawa keahlian MPPK sewajarnya dilantik berdasarkan matlamat pendidikan negara dalam kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Gelombang kedua yang berakhir pada 2020 mensasarkan perubahan pembudayaan pendidikan yang antara lain melibatkan pendidikan vokasional, memartabatkan bahasa Melayu, dan penstrukturan semula Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Sebelum ini, KPM diberikan nasihat oleh konsultan luar seperti McKinsey yang dibayar jutaan ringgit.

Namun, kali ini, ABIM menyeru KPM untuk menunjukkan contoh dan kebijakan yang mencerminkan wajah pendidikan citra bangsa Malaysia seluruhnya.

ABIM menggesa agar penasihat pendidikan yang bertanggungjawab kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan serta wawasan pendidikan negara; wajar melibatkan mereka yang mempunyai autoriti dalam bidang-bidang yang membantu kerajaan mencapai dasar berkenaan.

ABIM menegaskan bahawa domain utama pendidikan yang membantu Kementerian Pendidikan Malaysia seperti dalam konteks dasar melibatkan penggubalan kurikulum dan pentaksiran, dasar melibatkan pengurusan persekolahan, dan dasar melibatkan pembangunan profesionalisme keguruan, sewajarnya menjadi faktor utama dalam memilih ahli majlis penasihat.

Semestinya, bukanlah melibatkan tokoh-tokoh yang sering kali melanggar prinsip dan dasar pendidikan dan bahasa kebangsaan, atau yang mempunyai hubungan politik kepartian.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.