Surat Malaysiakini

'Pembatalan ECRL beri kesan penduduk di Pantai Timur'

Shahir Adnan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) buat masa ini di atas faktor kos yang tinggi.

Pengumuman tersebut dibuat pada akhir lawatan rasmi perdana menteri ke China. Projek ECRL merupakan antara projek untuk memperkasakan pengangkutan awam di Malaysia.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendirian bahawa sesebuah kerajaan perlu memperkasakan pengangkutan awam di sesebuah negara demi membina sebuah negara maju.

Projek pengangkutan awam wajar ditunda ke masa hadapan, apabila ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang lebih kukuh. Namun begitu, pembatalan secara menyeluruh akan memberikan impak yang mendalam kepada rakyat Malaysia terutama di Pantai Timur.

Wilayah Ekonomi Pantai Timur, atau dikenali sebagai East Coast Economic Region (ECER), meliputi kawasan lebih daripada 66,000 kilometer persegi atau 51 peratus daripada keseluruhan kawasan di Semenanjung Malaysia dengan populasi penduduk sebanyak 4.43 juta (2014).

ECRL tulang belakang ECER

ECER meliputi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, termasuk daerah Mersing di Johor.

Pembangunan infrastruktur adalah penting untuk ECER dan sistem kereta api merupakan nadi utama untuk menghubungkan kawasan ECER dengan Lembah Klang dan Kuala Lumpur secara efektif.

ECRL merupakan kunci dan tulang belakang kepada pembangunan infrastruktur di ECER.

Hampir 20 peratus fasa satu Projek ECRL sudah sempurna. Justeru, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menamatkan projek ini, kerajaan perlu mengeluarkan sejumlah pampasan dan penalti kepada negara China.

Langkah membatalkan projek ECRL adalah langkah ke belakang yang akan menyebabkan negara mengalami kerugian pada masa hadapan.

Antara aspek yang merugikan negara jika projek bernilai RM55 bilion (sewaktu kerajaan BN) atau RM 81 bilion (pengiraan kerajaan HARAPAN sekarang) dihentikan, berlaku kerencatan dalam menyediakan sistem perhubungan yang efisien kepada rakyat, merencatkan pertumbuhan ekonomi di Kelantan, Terangganu dan Pahang, serta menjejaskan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di Pantai Timur terutama bidang rel kereta api berteknologi tinggi.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendapat bahawa akses perhubungan antara rakyat di Pantai Timur dan Pantai Barat menjadi lebih efektif dengan ECRL, sekaligus dapat merapatkan jurang ekonomi dan mengimbangi kemajuan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

Pembatalan projek pengangkutan awam seperti ECRL tetapi membina projek kereta nasional ketiga merupakan langkah ke belakang yang menzalimi rakyat Malaysia.

 



SHAHIR ADNAN ialah Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.