Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Ceteknya ilmu dan pengalaman politik Akmal Nasir

Saya terpanggil untuk memberi pandangan selepas membaca laporan Malaysiakini bertajuk "Azmin Tak Bertanggungjawab, Lambat Umum Tanding PKR".

Anggota parlimen Johor Bahru itu berkata bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bertanggungjawab kerana lambat mengumumkan status pertandingan beliau bagi pemilihan PKR 2018.

Kenyataan tidak matang Akmal ini boleh difahami lantaran ceteknya ilmu politik dan penglibatan beliau yang sangat baru dalam arena politik negara.

PKR adalah sebuah parti yang sering mengamalkan muafakat dalam membuat keputusan.

Namun saya faham bahawa Akmal ingin berkempen dan mempertahankan pemimpin kesayangannya iaitu Rafizi Ramli, kerana beliau juga salah seorang pemegang saham dalam Invoke Solutions Sdn. Bhd.

Nasihat saya buat Akmal yang yang masih muda ini agar berhikmahlah dalam berpolitik. Nuansa politik baru dalam negara hari ini memerlukan agenda segar yang membina, bukan meruntuhkan.


Baca: Azmin Tak Bertanggungjawab, Lambat Umum Tanding PKR


Azmin tidak lewat malah lebih awal mendahului kita semua. Jika parti ini dikatakan berusia 20 tahun, sejarah panjang kesetiaan dan pengorbanannya terhadap Anwar telah bermula lebig awal lagi - 30 tahun lalu!

Mungkin Akmal masih bermain tanah liat dan sibuk dengan buku mewarna di tadika pada waktu itu.

Kejayaan rakyat Malaysia untuk mengubah kerajaan dalam PRU lalu perlu dianggap sebagai kejayaan kolektif. Semua pihak berperanan penting dalam kejayaan tersebut.

Mungkin Akmal Nasir juga berjasa, tetapi kita tidak boleh menyanjung seorang sahaja manusia atau organisasi diatas kemenangan tersebut. Ia adalah kemenangan semua.

'Malaysia perlukan realis, bukan idealis'

Invoke yang diagung-agungkan oleh Akmal dan Rafizi sebagai game changer untuk PRU ke-14 juga melakukan kesilapan. Sebagai contoh siapa boleh melupakan ramalan songsang Invoke tentang keputusan di Kelantan dan Terengganu.

Begitu juga dengan kedangkalan fikiran Rafizi yang disangka bijak oleh penyokongnya. Jika benar-benar bijak, sudah tentu beliau faham apa itu Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) dan kesan daripada pendedahan-pendedahan yang dilakukannya.

Namun beliau gagal memahami undang-undang lantas menghilangkan kelayakannya untuk bertanding.

Kita tidak perlu pemimpin populis, apa yang kita mahukan adalah pemimpin yang tahu buat kerja. Seorang idealis juga tidak akan mampu mentadbir negara ini kerana yang kita perlukan adalah pimpinan yang bersifat realis dan praktikal.

Jelas di sini kita sedar siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang sering bersorak-sorai dan hanya mampu mencari salah orang lain.

Kredit atas kejayaan mengubah kerajaan ini wajar diberi kepada rakyat Malaysia yang mengundi untuk menumbangkan BN. Bukan Rafizi.

Sudah-sudahlah Akmal Nasir, lebih baik anda terus mencari jalan terbaik untuk berkhidmat untuk rakyat di Parlimen anda. Jangan jadi seperti mentor anda yang bak kata pepatah "kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi".


POZIYAH HAMZAH ialah ketua Wanita PKR Perlis dan anggota Majlis Pimpinan Wanita PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS