Saya amat tertarik melihat kejayaan Media Prima Berhad (MPB) meletakan empat televisyen percuma di bawah penguasaannya. Selain itu, kejayaan pengurusan anak muda tempatan berkelulusan perakauanan dan perniagaan itu membawa keuntungan kepada stesen TV ini, turut membuka mata banyak pihak.

MPB bukan sahaja berjaya membawa keuntungan dari aspek jualan iklan, tetapi turut mengaut peratusan penonton televisyen paling tinggi dan sekaligus meninggalkan TV1 dan TV2 jauh di belakang.

Namun begitu, di sebalik kejayaan tersebut, MPB gagal mempertahankan prinsipnya apabila cenderung tunduk kepada kehendak pengiklan. Demi wang, kebanyakan rancangan barunya lebih condong kepada keuntungan semata-mata. Jelas sekali konsep dan idea program yang disiarkan, didorong oleh pengiklan yang hanya mementingkan kumpulan sasaran mereka.

Maka muncul program seperti "Mencari Cinta' yang dikritik kuat oleh pemimpin Barisan Nasional, siri program import seperti 'Desperate Housewives' yang cukup bertentangan dengan budaya dan etika timur, apatah lagi dengan Islam Hadhari.

Rancangan "Bersama Mu", walaupun ia bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik, namun tujuan sebenar stesen penyiaran ini, menjadi tandatanya. Ia tidak sewajarnya disiarkan bagi mengaut publisiti murah.

Pihak pengurusan stesen TV harus sedar bahawa setiap badan penyiaran ada tanggungjawab masing-masing. Langkah mengaut keuntungan semata-mata, akan melalaikan objektif membina modal insan yang berguna. TV swasta tidak boleh menyerahkan soal 'tanggungjawab sosial" ini kepada TV kerajaan semata-mata.

NTV7 misalnya, pada awalnya, lesen penyiarannya diberi dengan syarat ia menyiarkan rancangan tempatan yang melibatkan suku kaum di Sabah dan Sarawak, serta menjadi jambatan penghubung silaturahim dengan Semananjung Malaysia?

Baru-baru ini, Pengarah Urusan Kumpulan MPB telah memaklumkan bahawa stesen tersebut akan menumpukan perhatian kepada masyarakat "urban" di Lembah Kelang, Lembah Kinta, Johor bahru dan Pulau Pinang serta golongan kelas atasan.

Apa sudah jadi dengan nasib kaum Iban dan Kadazan serta penonton di luar kawasan "urban" ini? Begitu juga dengan stesen Channel 9. Mengikut pengarah urusan berkenaan ia akan dikhususkan kepada penonton Melayu. Apa pula sasaran TV3? Bukankah selama ini kaum Melayu penonton utamanya?

Bagaimana pula dengan rancangan Tamil? Dianaktirikan kerana tiada permintaan dari pengiklan? Jadi siapa yang mengawal sistem penyiaran televisyen kita sekarang? Di mana pendirian stesen TV negara ini. Apakah mereka sudah lupa dengan komposisi masyarakat negara .

Inilah padahnya apabila media diurus oleh akauntan dan bukan pemikir. Impian perdana menteri untuk menwujudkan sebuah negara dengan modal insan yang bermutu, berakhlak dan bermotivasi, gagal mendapat sokongan televisyen swasta.

Lihat sahajalah di mana visi mereka untuk membantu mempromosikan bidang sukan, perniagaan, sains dan teknologi serta berita antarabangsa. Bukankah sudah sampai masanya kita memiliki sebuah stesen televisyen percuma yang khusus pada berita dan dokumetari yang akan merangkumi segala aspek di atas.

Mungkin Channel 9 patut ditukar menjadi saluran berita dan dokumentari yang pertama di negara ini.