Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Parlimen perlu tubuh jawatankuasa khas Palestin, Rohingya

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) merakamkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kembali sebagai anggota parlimen setelah memenangi pilihan raya kecil (PRK) Port Dikson baru-baru ini.

Kami percaya rakyat telah menyampaikan mesej bahawa mereka mahu peralihan jawatan perdana menteri berjalan dengan lancar dan licin.

Kejayaan Anwar berada di parlimen akan menjadikan proses penggantian jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad akan berjalan seperti yang dirancang.

Kami mengalu-alukan hasrat Anwar untuk menumpukan perhatian kepada reformasi parlimen seperti yang dijanji Pakatan Harapan.

Lantaran itu segala struktur, bidang kuasa serta fungsi parlimen sebagai platform demokrasi berparlimen di negara ini akan menjadi lebih berkesan.

Rakyat mahukan parlimen benar-benar menjadi institusi yang mewakili rakyat (representative), berintegriti, telus, efektif, mempunyai akses yang mudah dan bertanggungjawab (accountable) kepada rakyat.

Parlimen perlu diperkukuhkan sebagai institusi kunci dalam sistem demokrasi untuk mempromosi tadbir kelola yang baik ketika perbahasan untuk mewujudkan undang-undang dan polisi negara dibentangkan di parlimen.

Sudah sampai masanya Parlimen Malaysia berganjak kepada institusi yang lebih dewasa dengan pembaharuan yang membolehkan dewan itu menjalankan perbahasan dan memutuskan undang-undang dan polisi di negara ini yang lebih baik demi rakyat dan negara.

Sementara prinsip syura dalam Islam seharusnya menjadi panduan, namun sistem perwakilan di parlimen di negara-negara di dunia terus berubah secara evolusi.

Reformasi parlimen perlu disesuaikan dengan peranan parlimen untuk respon kepada harapan rakyat dan bagaimana rakyat boleh terbabit secara berkesan dalam proses membuat keputusan melalui parlimen.

Kami mengesa sebuah jawantankuasa khas hubungan luar diwujudkan dalam kalangan anggota parlimen untuk menyemak semua dasar dan strategi antarabangsa melibatkan kepentingan Malaysia, sekali gus berperanan menyuarakan nasib komuniti yang ditindas.

Isu Rohingya dan Palestin menjadi isu paling penting pada saat ini dan peranan parlimen Malaysia untuk terbabit mengetengahkan penyelesaian sangat diperlukan.

Parlimen Malaysia perlu membahaskan usul khas mengenai isu Palestin dan Rohingya dan jawantankuas khas itu mesti meneliti cadangan penyelesaian serta menggariskan tindakan yang sewajarnya diambil oleh kerajaan Malaysia.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS