Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Dengarkan rayuan Anwar, kaji semula peruntukan buat nelayan

Ucapan Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam yang merayu kerajaan membantu nelayan amat dialu-alukan.

Saya menyokong penuh keprihatinan beliau yang melihat pengurangan peruntukan kepada nelayan boleh memberi kesan kepada golongan tersebut.

Ini kerana kebanyakan nelayan adalah kelompok yang dikategorikan B40 dan mereka bergantung kepada keadaan cuaca, keadaan laut dan sebagainya untuk mencari rezeki.

Di samping itu, peruntukan sebegini penting ditingkatkan bagi merangsang komitmen nelayan dalam usaha meningkatkan bekalan ikan tempatan yang mencukupi.

Dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini, Elaun Sara Hidup Nelayan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan telah dikurangkan sebanyak 62.4 peratus kepada RM98.5 juta berbanding RM262 juta dalam Belanjawan 2018.

Bagi Elaun Sara Hidup Nelayan pula, peruntukannya dikurangkan 72 peratus kepada RM3.5 juta berbanding RM12.5 juta.

Pengurangan ini dikhuatiri boleh memberikan kesan kepada nelayan khususnya bagi menghadapi kos sara hidup yang masih tinggi.

Justeru, pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Pertanian dan Asas Tani perlu menstruktur semula jumlah insentif-insentif ini.

Sungguhpun pengurangan peruntukan ini diakibatkan kekangan kewangan negara yang meruncing akibat bebanan hutang ditinggalkan rejim BN, usaha Salahuddin Ayub berjaya meyakinkan kerajaan untuk meneruskan insentif-insentif ini.

Bagi memastikan pemberian bantuan kepada nelayan tulen, LKIM akan meneruskan proses pemutihan supaya ketirisan dan salah guna insentif dapat dikekang, seterusnya dimanfaatkan dengan baik.

Justeru, saya merayu agar kerajaan mengambil perhatian serius terhadap rayuan Anwar dan melihat kembali peruntukan kepada nelayan.

Visi saya ialah untuk memajukan nelayan dan seterusnya memastikan daya saing perikanan dapat ditingkatkan melalui pembelaan kerajaan.

Ini bagi memastikan sosioekonomi nelayan dapat ditingkatkan bagi mendorong mereka terus membantu kerajaan meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi makanan.


FAIZ FADZIL ialah anggota dewan undangan negeri Permatang Pasir, Pulau Pinang merangkap pengeruski LKIM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS