Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Ketika Dr Maszlee Malik diangkat menjadi menteri pendidikan, saya begitu gembira. Harapan tinggi terhadap Maszlee perlahan-lahan surut apabila dia menerima jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Ditambah dengan pengumuman teman baiknya Wan Saiful Wan Jan berkenaan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan bermula pada gaji RM1,000, ia semakin mengecewakan.

Maszlee turut mendapat kritikan hebat dalam isu kasut hitam dan kolam renang.

Sungguh unik seorang menteri ini. Dia berjaya menimbulkan harapan pada awal lantikannya, kemudian perlahan-lahan membunuh harapan tersebut dengan pelbagai berita sensasi.

Kini ramai mula meletakkan label di dahinya.

Saya cuba menulis pandangan saya dengan nada sederhana – barangkali sebelum ini kritikan terhadap Maszlee terlalu keras, oleh itu dia dan pasukannya enggan menerima kritikan tersebut.

Kedegilan Maszlee belajar daripada sejarah terbukti apabila dia menyebut skandal 1MDB akan dimasukkan dalam silibus sejarah.

Sudah tentu kenyataan seperti ini akan digunakan oleh media untuk menjual berita mereka. Sesekali laporan berita akan ditulis dengan nakal.

Keyakinan kian merosot

Laporan berita seperti ini tidak boleh dikatakan culas. Memang benar Maszlee menyebutnya.

Lebih malang, sudah beberapa kali Maszlee dibuli media kerana sifat tidak cermat yang dimiliki menteri pendidikan itu.

Imej menteri di internet penting memandangkan kebanyakan rakyat mendapatkan berita yang segar dan mudah di internet.

Kegagalan menteri menjaga imej akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadapnya merosot.

Melihat isu-isu remeh yang dikaitkan oleh Maszlee amatlah menyedihkan. Tidak keterlaluan jika saya katakan dia merupakan menteri Pakatan Harapan (PH) paling banyak diserang di atas ayat yang keluar dari mulutnya sendiri.

Saya sarankan Maszlee mengambil tempoh bertenang dan tidak terlalu banyak bercakap, lebih fokus bekerja.

Saya juga hairan dengan pasukan media Maszlee yang maha lambat memberikan respon terhadap isu-isu yang sedang tular.

Bukan itu mahu didengar

Bagi saya, wajar Maszlee menetapkan piawaian kepada pasukan medianya. 

Misalnya jika laporan 'nakal' berkenaan menteri pendidikan diterbitkan pada pukul 10 pagi, paling lewat pukul 10.30 pagi sudah ada kenyataan untuk membetulkan laporan tersebut bagi membendung segera persepsi negatif.

Saya fikir beberapa bulan menjadi menteri memberi Maszlee kefahaman tentang kesukaran menjadi ahli politik.

Walaupun mungkin banyak hal yang baik dilakukan oleh kementeriannya – kebanyakan media cuma gemar menyelak kain untuk mencari kesalahan, begitu juga pengguna Internet.

Isu 1MDB mungkin tidak salah dimasukkan ke sukatan pelajaran, namun bukan itu yang kebanyakan rakyat mahu dengar.

Ramai yang sedang gusar dengan PH, lebih-lebih lagi banyak manifesto yang enggan dilaksana, oleh itu rakyat mahu melihat menteri bekerja keras.

Walaupun tidak adil membandingkan kementerian, barangkali pasukan Maszlee boleh belajar daripada kementerian pengangkutan yang saya fikir berjaya menguruskan imejnya di Internet.

Maszlee harus mula membina semula momentum untuk menonjolkan kerja-kerjanya dan segera membalas serangan-serangan nakal terhadapnya.

Ia tidak mudah oleh kerana sebelum ini Maszlee sudah tercalit dengan ‘kedunguan’, maka semakin mudah masyarakat untuk percaya isu-isu remeh yang wujud sememangnya datang daripada Maszlee.

Apakah kita sudah lupa pada Ahmad Maslan? Oleh kerana masyarakat melihat sifat ‘dungu dan lawak’ melekat pada bajunya, apa jua yang dilakukan olehnya akan terlihat dungu oleh kebanyakan orang.

Maszlee dan pasukannya harus segera melakukan sesuatu sebelum Maszlee bertukar menjadi Ahmad Maslan 2.0.

Sekiranya rombakan kementerian berlaku, saya melihat Maszlee merupakan calon utama untuk ditukar kementerian atau dibuang dari kabinet.

Membaca tulisan A Kadir Jasin - Dr Mahathir Mohamad menyekolahkan Maszlee - menguatkan lagi jangkaan itu.

Saya percaya ia akan memberi impak yang besar pada Maszlee jika dia ‘dirombak’, namun pastinya dia akan belajar daripada kesilapan.

Dia memiliki masa yang suntuk untuk memulihkan semula imejnya.

Walaupun saya kecewa dengan prestasinya, semoga dia kembali fokus dan berjaya keluar dari jerat media yang selalu mengena.


RAHMAN IMUDA ialah bekas aktivis mahasiswa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS