Paling Popular
Terkini

Semalam, tular sebuah video seorang individu kononnya ingin menegur menteri kesihatan berdasarkan sebuah berita yang beliau terbaca di akhbar berkenaan seorang wanita dipenjara sebulan kerana gagal membayar denda bagi kesalahan merokok di kawasan larangan merokok iaitu di tempat letak kereta pasar raya.

Individu tersebut dengan penuh yakin dan berjela seolah ingin membuktikan bahawa hukuman tersebut rentetan daripada peraturan baru merokok dengan jarak tiga meter yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Berkemungkinan beliau membaca separa bahagian berita tanpa mendalami fakta kes yang terkandung dalam isi berita tersebut.

Memetik kandungan berita berkaitan di portal Harian Metro, "mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merokok di kawasan dilarang merokok iaitu di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada 9.15 malam 17 Mac 2017."

Telah jelas bahawa kejadian kes tersebut telah belaku pada tahun 2017, dan hukuman di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, tidak seperti yang dinyatakan di dalam video.

Individu tersebut perlu sedar bahawa kenyataan menteri kesihatan berkaitan pelaksanaan hukuman pelanggaran peraturan merokok dengan jarak tiga meter masih belum berjalan, dan dalam fasa mendidik.

Memetik berita di portal Malaysiakini pada 1 Januari 2019, Menteri Kesihatan menyatakan "bagi kempen ini kita membenarkan enam bulan pertama untuk mendidik orang awam."

Individu di dalam video terbabit sewajarnya lebih utama mempraktis membaca dan meneliti berita serta fakta kes sebelum membuat apa-apa kenyataan, apatah lagi dalam bentuk video.

Jika ada kebenaran cadangan dalam video tersebut, maka beliau wajar menyalurkan secara profesional pada saluran yang betul. Pakaian beliau melihatkan beliau seorang yang profesional dan apa yang diperkata seperti seorang yang mampu menyumbang idea yang baik.

Mari kita bina Malaysia Baru dengan semangat perubahan kepada yang lebih baik dan sihat.


UBAIDILLAH HARITH merupakan Ahli Jawatankuasa, Pemuda Amanah Negeri Melaka.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS