Malaysiakini Surat

Pemuda Umno ajak polis Semenyih tolak IPCMC

Bastien Onn

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Saya menyarankan pengundi-pengundi dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada esok menjadikan PRK Semenyih sebagai referendum mereka menolak Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Polis ialah badan beruniform yang meletakkan displin sebagai asas pentadbirannya.

Jika ada badan luar lain yang mengawal urusan mereka, maka tiada gunanya pangkat dan kedudukan pada ketua-ketua jabatan, termasuk Ketua Polis Negara.

Mereka bukan setakat perlu dihormati dan memberi arahan, mereka (ketua-ketua jabatan) juga perlu bertanggungjawab kepada sebarang salah laku anggota bawahan mereka.

Polis boleh disiasat dan didakwa jika melakukan kesalahan.

Rekod menunjukkan banyak kes melampau yang melibatkan hukuman kepada anggota polis, malahan pegawai juga.

Saya tidak menolak kesemua IPCMC, tetapi jika keperluan lain yang lebih penting - seperti kebajikan, gaji, perumahan, peralatan dan keperluan tugasan mereka - sudah dipenuhi seperti negara-negara Barat, barulah ianya boleh dipertimbangkan.

Saya mengumpamakan kerajaan sudah memenuhi semua keperluan mereka dan tiada alasan lagi untuk mereka menjalankan tugasan yang cukup berisiko.

Setelah itu, barulah kita boleh mewujudkan IPCMC untuk memantau tugasan mereka.

Ini tidak, keperluan mereka tidak dijaga. Sekiranya mereka mati semasa bertugas kerana kurangnya peralatan, siapa yang nak menjaga anak bini mereka?

Jangan hadirkan tekanan yang tidak sepatutnya kepada mereka.

Anggota PDRM menggadai nyawa untuk menjaga keselamatan kita semua.

Manifesto PH juga menyatakan bahawa setelah tuntutan dan keperluan PDRM dipenuhi barulah mereka melihat kepada usaha menubuhkan IPCMC.


BASTIEN ONN ialah anggota Jawatankuasa Pemuda Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.