Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Kenapa hutan Selangor kena tebang tak bising, tapi kecoh jika di Johor

Gabungan NGO Prihatin Alam Sekitar Johor (GPAJ) mahu berdialog dengan Yellow Flames Johor jika NGO itu benar-benar prihatin dengan isu alam sekitar di negara ini.

Ini kerana kenyataan yang dikeluarkan NGO berkenaan memberikan gambaran seolah-olah Johor merupakan sebuah negeri yang hanya mementingkan pembangunan tanpa sensitif terhadap isu-isu alam sekitar.

Hakikatnya, tidak mungkin ‘sekeping’ padang golf boleh memberikan ancaman dari segi pemuliharaan alam sekitar apatah lagi pihak pemaju sudah memberi komitmen untuk menanam semula pokok bakau malah memperelokkan lagi persekitaran yang terlibat.

Usaha ini tentulah lebih baik berbanding pelbagai lagi projek mega sesetengah pembinaan yang telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak sejak pentadbiran beberapa penggal yang lepas ke atas tanah yang telah diwartakan.

Projek-projek mega seperti East Klang Valley Expressway (EKVE) ke atas Tanah Warta Negeri Selangor dan Damansara Shah Alam Highway ke atas Tanah Hutan Simpan Sungai Buluh, misalnya tidak pula dipertikaikan malah disambut baik dan dilabel sebagai proses pembangunan.

Bagi GPAJ, sikap segelintir NGO yang diragui ini seolah-olah mempunyai tangan ghaib yang diselubungi motif dan kepentingan pihak tertentu.

Jika mereka benar-benar ‘genuine’ cintakan alam sekitar, mengapa tidak pula dipertikaikan pelabuhan Tanjung Pelepas bersebelahan padang golf itu yang dikhuatiri lebih memudaratkan alam sekitar terutama melibatkan penggunaan bahan kimia dan sebagainya ?

Kami berpendapat bahawa pelabuhan berkenaan jauh lebih memberikan impak negatif terhadap ekosistem alam sekitar.

Adakah ini kerana projek pelabuhan berkenaan dimiliki oleh “Super Crony” kepada tangan-tangan ajaib dari Putrajaya?

Jikalau benar, maka kami lebih dukacita kerana usaha ini tidak menampakkan NGO ini sebenar-benarnya ingin memperjuangkan isu alam sekitar, malahan hanya menggunakan RAMSAR Convention sebagai alat propoganda untuk menarik perhatian media, sedangkan Johor mempunyai dasar yang jelas untuk melindungi dan memulihara sumber ini.

Buktinya, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah jelas untuk mewartakan Taman Negara Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor yang dijaga dan dikawal selia oleh kerajaan negeri Johor di bawah Perbadanan Taman Negara Johor.

Ini ditambah lagi dengan keperihatinan DYAM Tunku Mahkota Johor pada setiap isu alam sekitar yang memberikan gambaran jelas kepada masyarakat umum berkenaan pentingnya pemuliharaan alam sekitar di Johor sentiasa pada kedudukan yang utama.

Oleh itu, kami menyeru agar pihak-pihak yang berkepentingan ini untuk hentikan segala usaha propaganda untuk memburukkan imej Johor dan bersama-sama bekerjasama bagi tujuan pembangunan seimbang Negeri Johor.


MOHD HAFIZ JALALLUDIN adalah Pengerusi Gabungan NGO Prihatin Alam Sekitar Johor (GPAJ)

Surat ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS