DAP perlu cermin diri
Nampaknya sikap panas baran Lim Kit Siang terhadap Kementerian Keselamatan Dalam Negeri begitu memuncak. Serangan terhadap musuh tetapnya Datuk Noh Omar begitu mendalam sekali. Sejak tahun 1995 Lim Kit Siang memang tidak senang dengan YB Tanjung Karang ini, seorang lulusan undang-undang dan petah berkata-kata membidas DAP dalam Parlimen.
Lim Kit Siang dan anak didiknya Teresa Kok menggunakan isu wanita bogel ketuk ketampi untuk menyerang kerajaan, khususnyya Noh. Sekumpulan NGO yang menamakan sebagai Barisan Bertindak Terhadap Campurtangan Politik Dalam Media pro-DAP telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Noh agar meletak jawatan.
Persoalannya siapa NGO ini? Sebagai wakil rakyat, Noh dipilih oleh rakyat daripada Tanjong Karang. Rakyat inilah yang memilihnya bukan NGO yang diupah oleh Lim Kit Siang dan Teresa itu. Pemimpin NGO atau orang-orang berkepentingan ini tidak berhak memberi kata putus kepada orang lain untuk meletak jawatan.
Lagipun isu wanita bogel ini sudah diselesaikan oleh Suruhanjaya yang dibentuk menyelesaikan kes itu maka sesiapa sahaja termasuk Timbalan Menteri ini tidak boleh membuat kenyataan bagi mengelakkan unsur prejudis.
Apa yang DAP, Lim Kit Siang dan Teresa boleh pelajari ialah jangan menggunakan media atau isu kaum untuk mencetuskan sesuatu isu. Mengapa Teresa mengggunakan media di lobi Parlimen untuk mendedahkan kes bogel itu? Jika ia benar, mengapa tidak dilaporkan kepada polis terlebih dahulu?
DAP telah membuka pekung di dada. Lim Kit Siang dan Teresa sepatutnya meletakkan jawatan secara sukarela kerana mencemarkan imej negara di mata dunia dengan isu yang dibangkitkan oleh mereka.
Perangai menangguk di air keruh amat jijik sekali. Terbaru mengenai akhbar Sarawak Tribune yang menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w . Lim Kit Siang berkata tak perlu mengambil tindakan lanjut terhadap akhbar berkenaan kerana editor bertugas telah meletak jawatan.
Begitu mudah melepaskan kata maaf dengan isu penghinaan agama? Maaf memang boleh diterima tetapi kesan penyebaran karikatur itu begitu menyakitkan umat Islam.
Malah sekali lagi Lim Kit Siang menyelar tindakan Noh kerana mahu mengambil tindakan terhadap akhbar berkenaan. Sebagai Timbalan Menteri adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengambil tindakan terhadap akhbar yang menjejaskan keharmonian kaum dalam negara. Bukankah ini kerja KKDN?
Apa yang perlu DAP dan Lim Kit Siang lakukan ialah berhenti dari mengambil kesempatan daripada isu-isu perkauman atau berkaitan agama dan tidak bertindak mengikut rasa membelakangi polis jika ada isu sensitif yang dibangkitkan.
Janganlah pandai memaksa orag lain meletakkan jawatan jika diri sendiri bersalah tidak mampu berbuat sedemikian. Sebagai Ketua Pembangkang gunalah posisi sebaiknya untuk kepentingan semua pihak.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.