Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Saya pernah melihat dengan dekat Najib Razak di suatu acara dahulu, malangnya sedikit perasaan untuk mendekatinya tidak ada. Saya tidak tahu, beliau pada saya cuma 'biasher-biasher' sahaja. Tetapi ada dua tokoh yang pada saya bukan 'biasher-biasher'.

Pertama Anwar Ibrahim. Saya pernah bertentang mata dengannya di beberapa perjumpaan. Aura sebagai seorang pemimpin sangat kuat, buktinya setiap retorika yang keluar dari mulut Anwar Ibrahim memegunkan khalayak dan beliau berhasil mengemudi partinya hingga bertahan selama 20 tahun.

Tokoh kedua ialah Mahathir Mohamad, baru-baru di sebuah acara ketika Mahathir tiba, saya sempat bertentang mata dan bersalaman dengan beliau. Cengkamannya erat hingga saya boleh merasai tulang jari jemari beliau; auranya sangat kuat.

Kira-kira 20 tahun lalu, ketika gelombang Reformasi cuba menumbangkan Mahathir.

Mahathir seorang yang saya pernah benci dan maki dahulu kini sekali lagi memimpin saya namun entah bagaimana saya merasakan Mahathir bukan Mahathir yang dulu; seorang Mahazalim yang dahulu 'democrazy' tetapi sekarang menjadi demokrasi.

Ya, Mahathir seorang yang demokratik, ini soal budaya. Demokratik dalam merenovasikan minda kita. Beliau melahirkan satu budaya baru dalam kepimpinan negara selepas kejatuhan rejim BN.

Beberapa tuntutan yang dikatakan bersikap u turn adalah pada saya itu sebuah tindakan demokratik kerana beliau mengambil kira pandangan semua pihak hingga ke peringkat bawahan. Isu Icerd misalnya, Mahathir berdemokratik soal bangsa dan agama.

Begitu juga soal Statut Rom, walaupun kita cuba meraikan keadilan dan kebebasan tetapi kerana faktor politik yang mendesak ratifikasi itu ditarik balik; Mahathir berdiplomasi dan demokratik.

Allahyarham Fadzil Noor

Barangkali doa allahyarham Fadzil Noor dimakbulkan tuhan dan bukan ia dimakbulkan sahaja tetapi diberi satu hikmah besar buat Mahathir. Beliau bukan sahaja dapat melihat apa yang telah ditempanya dahulu tetapi berpeluang memperbaikinya.

Pada saya, Mahathir sedang menyebarkan udara demokrasi pasca-BN. Tindakan-tindakan beliau bukan seperti Mahathir yang dahulu. Dari seorang yang begitu antifeudal tetapi kini cuba menyelamatkan kembali institusi feudal dengan menyemak semula akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dibuat oleh Najib ketika pemerintahan BN untuk menghapuskan kuasa Agong.

Tetapi ketika itu tidak ada sesiapa membantah tidak seperti hari ini walaupun Mahathir cuba melindungi kuasa feudal dan pada masa yang sama cuba memberi keadilan untuk semua dengan beberapa ratifikasi tetapi dibantah bertalu-talu hingga dituduh pengkhianat bangsa.

Kejatuhan rejim BN juga memberi kita kebebasan berekspresi serta media sosial kita sekarang juga sudah tidak dicengkam seperti dahulu. Atas sebab inilah kejutan budaya di media terbuka menjadi satu fenomena dan ini satu budaya yang normal kerana budaya kadangkala bergerak seiring dengan masa.

Mungkin renovasi minda yang Mahathir sedang membudayakan ini akan sedia diterima 20 ke 30 tahun lagi? Ketika masyarakat kita sedia menerima dan membudayakan sesuatu yang baru sesuai zaman ketika itu. Zaman di mana masyarakatnya menjunjung tinggi nilai-nilai keperibadian, kerukunan, keterbukaan, matang dan sejahtera serta kasih sayang antara satu sama lain.

Salam pendamaian Mahathir-Anwar selepas 18 tahun bermusuh pada Sept 2016.

Anwar Ibrahim harus sedar bahawa legasi yang bakal diterimanya bukan sebuah legasi 20 tahun yang lalu. Retorika-retorika dan idealisme dahulu harus turut direnovasikan semula sesuai dengan keadaan semasa seperti pendekatan Mahathir yang sekarang.

Anwar Ibrahim juga harus memandang ke hadapan, pasukannya juga harus kuat dan mempunyai visi yang mantap. Bukan lagi mememorabiliakan sejarah-sejarah lalu yang membataskan pembentukan Malaysia Baru. Jika perlu melengserkan sesiapa sahaja yang bakal menjadi liabialiti dan parasit kelak ketika menjadi perdana menteri kelapan, orang tersebut harus dilengserkan.

Untuk sebuah Malaysia Baru, beliau juga harus membudayakan sikap yang sesuai dengan zamannya. Jika Mahathir sedang cuba merenovasikan minda, diharap Anwar Ibrahim sebagai penyambung legasi dapat mereformasikan minda agar udara demokrasi itu segar disedut dan dilepas.


SYAFIE ABDUL seorang pemerhati politik dan pencinta kedamaian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS