Paling Popular
Terkini

Nampaknya masih belum reda lagi isu mengenai rombakan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Johor (exco). Bertambah lagi isu baru sebaik sahaja kesemua exco yang dipilih mengangkat sumpah pada awal minggu ini.

Ingatkan selepas selesainya majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Johor yang baharu dan exco segala kemelut dan cakap-cakap yang berlaku antara Mahathir Mohamad dengan kerabat diraja Johor akan berakhir.

Tetapi nampaknya tidak, masih belum menemui jalan penamatnya lagi soal pemilihan jemaah exco yang menjadi bualan ramai sejak DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan untuk melakukan rombakan sebagai syarat lantikan menteri besar Johor yang baharu.

Ada khabar angin yang mengatakan berlakunya ketegangan antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dengan pengerusinya Mahathir mengenai pemilihan barisan exco yang dilakukan oleh menteri besar Johor yang baharu, Dr Sahruddin Jamal. Malah Mahathir turut mempersoalkan tindakan menteri besar Johor merombak jemaah exco.

Malah ketegangan ini juga dikatakan turut memaksa Bersatu pusat membuat mesyuarat tergempar untuk membincangkan kedudukan Muhyiddin Yassi. Dek kerana kononnya Muhyiddin telah bertindak membuat keputusan rombakan exco di minit-minit akhir tanpa pengetahuan Mahathir.

Menurut sumber yang diperolehi sebelum ini dikatakan Mahathir sudah memberi kata putus supaya tiada sebarang rombakan exco akan berlaku setelah menteri besar Johor yang baharu dilantik. Atau dengan kata lain, Mahathir sebenarnya tidak peduli akan syarat dan titah Sultan Johor yang telah dikemukakan sebelum ini.

Namun sebaliknya terjadi apabila Muhyiddin mencabar keputusan tersebut dengan bertindak menghadap Sultan Johor bagi membincangkan soal rombakan exco di saat-saat akhir. Dan pada akhirnya berlaku rombakan exco seperti yang kita tahu hari ini dan sekali gus perkara ini sampai ke pengetahuan Mahathir sendiri.

Malah perkara ini bertambah tegang apabila tersebarnya perbualan Whatsapp yang memperlihatkan Mahathir kecewa dengan tindakan Muhyiddin Yassin dan berhasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri. Ekoran itu Majlis Tertinggi Bersatu telah membuat keputusan untuk menyatakan solidariti mereka terhadap Mahathir.




Baca: Muhyiddin minta maaf dari Dr M - sumber


Dalam pada yang sama, mereka turut menyatakan untuk mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri. Manakala Muhyiddin Yassin pula dikatakan akan digugurkan sebagai presiden kerana bertindak membelakangi Mahathir. Perkara ini juga jelas boleh kita lihat di Facebook, kelihatan beberapa individu yang pro-Mahathir sedang giat untuk menjatuhkan dan ‘membelasah’ Muhyiddin.

Apabila perkara seperti ini terjadi jelas dapat kita lihat masa hadapan negeri Johor di tangan kerajaan Pakatan Harapan semakin ribut dan bercelaru. Jadi persoalannya kini, apa yang bakal terjadi kepada Johor nanti? Adakah kemelut seperti ini akan terus berpanjangan tetapi sampai bila?

Jika ia masih berterusan pastinya rakyat Johor sendiri akan rugi kerana terpaksa melayan kerenah politik pramatang kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini.


DHIA HANI bergiat bersama Persatuan Pemikir Muda Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS