Tanggal 9 Mei 2019 genap setahun peralihan kuasa yang telah dilakukan secara demokrasi melalui sistem pilihan raya. Sejak pengambilalihan tampuk pemerintahan tersebut isu PTPTN tidak pernah lekang dari bibir masyarakat.

Ya, entiti yang dikepalai Wan Saiful Wan Jan tersebut diserang hebat hingga kadangkala ia menjadi bahan jenaka. Saya suka dan sudah semestinya anda semua senada dengan saya. Mana tidaknya selain boleh maki-maki kita juga boleh gelak ketawa sambil boikot untuk tidak membayar; dan padan muka dengan bakal-bakal peminjam yang tidak dapat nanti.

Tetapi sejak akhir-akhir ini saya terasa gelak ketawa saya itu seakan pudar dan tidak sebahagia dulu apabila saya membaca berita-berita yang dilaporkan oleh pelbagai portal. Hairan, kenapa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional tiba-tiba ghairah dan galak sangat dengan kempen menabung di bawah skim SSPN ini dan begitu optimis memperbaiki entiti tersebut?

Sudah ia dijenamakan dan didoktrinkan sebagai entiti pinjaman kenapa harus tabungan pula yang sering dihebahkan hingga ada yang sanggup beratus-ratus kilometer menunggang motosikal bagi berkempen untuk menyebar luas peri pentingnya menabung bawah skim tersebut. Ah, pening saya.

Yang agak menjengkelkan saya, kenapa tiba-tiba mahu bercadang menambah baik skim insentif geran sepadan bagi menggalakkan lebih ramai ibu bapa miskin menabung dalam skim berkenaan? Orang miskin mana ada duit untuk menabung dan memikirkan soal pendidikan.

Memetik laporan berita daripada Berita Harian, Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata ia akan ditambah baik daripada skim dilaksanakan tahun lalu yang mewajibkan hanya mereka yang menabung sebanyak RM500 layak menerima tambahan sebanyak RM500 lagi.

Dan tiba-tiba juga Wan Saiful Wan Jan ini mengeluarkan kenyataan bahawa telah siap sedia untuk membentangkan satu Kertas Konsultasi Rakyat berkaitan PTPTN cuma menunggu kelulusan daripada pihak Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan. Ah, lagi bertambah pening saya.

Apa yang menghairan saya, pasukan Wan Saiful ini begitu komited turun ke lapangan. Katanya Kertas Konsultasi Rakyat tersebut mengandungi beberapa cadangan baharu dan ia diperoleh hasil perjumpaan meja bulat PTPTN bersama badan bukan kerajaan (NGO), ahli ekonomi, institusi perbankan serta pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pelajar, yang diadakan sejak Disember lalu.

Kepada Wan Saiful Wan Jan, sudah-sudahlah bersikap optimis dalam menyusun dan menggerakan semula PTPTN kerana kami risau jika anda dan pasukan anda dapat melakukan yang terbaik, nescaya kemurungan akan melanda kami kerana satu lagi alasan untuk kami ketawa dan hilangkan stress sudah berkurang. Malaysia kan antara negara yang tertinggi kadar rakyatnya yang menghidap stress.


HAKIM UMAIRAH ialah seorang bekas mahasiswa yang pernah terlibat dalam demonstrasi MANSUH PTPTN beberapa tahun lalu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.