Abang Johari Tun Openg amat popular di seluruh Sarawak. Ini disebabkan beliau amat hampir dengan rakyat dan mudah membantu mereka yang dilanda kesusahan. Beliau juga mempunyai rekod kerja yang baik sebagai Menteri Perumahan Sarawak yang banyak menyelesaikan masalah perumahan rakyat.
Adalah menyedihkan apabila Abdul Taib Mahmud tidak menyukainya dan lebih mengharapkan Adenan Satem yang baru sahaja dilucutkan jawatan menteri kabinet pusat untuk menggantikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Sebagai pemimpin politik, perkara yang penting bagi rakyat adalah kebijaksanaan, prestasi dan hubungan yang baik dengan rakyat yang amat dititik berat oleh rakyat dalam memilih seorang pemimpin.
Justeru, saya sebagai seorang anak jati Sarawak amat mengharapkan agar Taib memberi laluan kepada Abang Johari sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru pada pilihanraya negeri beberapa bulan lagi.
Pemilihan ini juga adalah petanda Taib menghormati sistem demokrasi dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mana majoriti ahli PBB telah membuat keputusan bahawa Abang Johari lebih layak berbanding dengan Adenan melalui kemenangan Abang Johari sebagai Timbalan Presiden PBB.
Sekiranya Taib gagal mewariskan kepimpinan negeri kepada Abang Johari, saya secara terbuka mahukan rakyat memberi undi protes kepada Taib dan Adenan dalam pilihanraya negeri nanti.
Ini sahaja jalan terakhir yang membolehkan Abang Johari yang disayangi rakyat dipilih sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru.
Abang Johari sahaja yang mampu mengubah nasib rakyat Sarawak yang merupakan rakyat negeri paling miskin di Malaysia.
