Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Peluang Bersatu perkukuh kedudukan melalui rombakan kabinet

Media sebelum ini hangat membahaskan mengenai kemungkinan berlakunya rombakan kabinet. Secara umumnya ramai yang setuju bahawa satu rombakan amat diperlukan. Jika setahun pertama ialah masa untuk menyesuaikan diri, maka kini setelah masuk tahun kedua Pakatan Harapan mesti berubah kepada memimpin dengan lebih cekap.

Inilah juga masanya untuk parti-parti politik dalam PH mempertimbang kembali nama-nama yang telah mereka angkat sebagai menteri. Dan memandangkan kelemahan utama PH adalah dalam memenangi undi Melayu, maka parti yang paling perlu bermuhasabah ialah Bersatu.

Rata-rata para menteri dari Bersatu masih belum berjaya membawa naik nama Bersatu agar ia dilihat sebagai sebuah parti yang berwibawa untuk menerajui agenda kepimpinan negara.

Mungkin satu kes istimewa ialah Redzuan Yusof sebagai menteri pembangunan usahawan. Beliau sering menyuarakan komen-komen yang bernas dan program pembangunan usahawan yang beliau jalankan pun telah mula menunjukkan impak. Dasar Keusahawanan Nasional yang beliau perkenalkan merupakan satu visi baru yang membuktikan kesungguhan beliau merubah masa depan usahawan di Malaysia.

Dalam memperjuangkan agenda Melayu pula Redzuan tidak pernah segan silu mempertahankan kedudukan Melayu dan Bumiputera. Dalam era Malaysia Baru, keberanian untuk bertegas dalam agenda Melayu agak sukar ditemui. Maka orang seperti Redzuan wajar dikekalkan atau diberi tanggungjawab lebih tinggi.

Rina Harun pula merupakan seorang yang jelas bersungguh-sungguh mahu membangunkan kawasan desa melalui Kementerian Luar Bandar yang beliau terajui. Cuma mungkin disebabkan beliau adalah ahli parlimen dari Titiwangsa iaitu satu kawasan urban di tengah-tengah Kuala Lumpur, beliau kurang dapat menyelami situasi sebenar di kampung dan desa. Sebab itulah masih terdapat pertelagahan mengenai keahlian Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang merupakan struktur penting untuk menguasai politik di luar bandar. Sehingga hari ini masih ada PH di beberapa negeri, dan terutamanya Bersatu sendiri, yang terus menolak struktur MPKK yang Rina tetapkan.

Tetapi Rina adalah seorang yang berketrampilan. Komitmen beliau dalam membangunkan sayap Wanita Bersatu tidak boleh dipersoalkan. Kedudukan beliau boleh diperkukuhkan dengan melantik timbalan menteri yang datang dari kawasan luar bandar atau Rina sendiri dipindahkan ke Kementerian yang lebih sesuai dengan beliau sendiri. Contohnya, sebagai ahli Parlimen Titiwangsa beliau mungkin lebih selesa di Kementerian Wilayah Persekutuan. Atau, dengan ketokohan beliau sebagai ketua wanita, Rina boleh memimpin Kementerian Wanita.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula merupakan seorang anak muda yang sebenarnya terlalu muda untuk menjadi seorang menteri penuh. Sebab itulah beliau membuat kesilapan yang terlalu asas seperti melantik kepimpinan pemuda Bersatu menjadi pegawai sukan kementerian beliau di negeri-negeri. Ini adalah perangai Umno dahulu yang hanya diulang oleh seorang yang tidak berpengalaman seperti Syed Saddiq.

Sekiranya Bersatu benar-benar mahu mengasah bakat Syed Saddiq, maka beliau lebih wajar diberikan kerusi timbalan menteri dahulu. Pakatan Harapan mempunyai anak muda yang jauh lebih berkaliber seperti Nik Nazmi Nik Ahmad atau Fahmi Fadzil. Malahan, dari Bersatu sendiri Farid Md Rafik juga adalah jauh lebih matang dari Syed Saddiq.

Kerusi yang wajib dirombak secara radikal ialah menteri pendidikan. Ini bukan lagi isu Bersatu tetapi ini adalah masalah negara. Dr Maszlee Malik jelas tidak ada kemampuan menerajui kementerian yang penting ini. Bersatu ada banyak calon lain yang jauh lebih berkebolehan dan Maszlee.

Sebenarnya dalam Kementerian Pendidikan memang ramai tokoh yang dibawa masuk selepas kemenangan PH. Wan Zahid Noordin merupakan tokoh pendidikan yang ulung dilantik menjadi pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan. Ibrahim Bajunid dilantik mengepalai jawatankuasa kajian dasar. Profesor Hata Shahrom dilantik sebagai pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka. Wan Saiful Wan Jan dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Malahan ramai lagi seperti Zarinah Anwar, Eddin Khoo dan bekas pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Saari juga dilantik memegang jawatan dalam Kementerian Pendidikan. Tetapi mereka semua tenggelam walaupun kepakaran mereka sukar dipersoalkan. Jika seorang dua sahaja tenggelam, mungkin itu petanda mereka gagal secara individu. Tetapi apabila semuanya tenggelam setelah menerima lantikan Maszlee, maka itu petanda masalah sebenar terletak pada bos utama iaitu Maszlee sendiri.

Bersatu sebenarnya tidak ketandusan tokoh. Kemasukan para pemimpin Umno memberi ruang untuk mereka yang berpengalaman seperti Mustapa Mohamed. Begitu juga Mukhriz Mahathir yang selayaknya mempunyai kerusi di peringkat persekutuan. Farid Md Rafik pula menunjukkan kematangan sebagai seorang timbalan menteri. Individu seperti Wan Saiful Wan Jan pula kelihatan tidak dapat berfungsi sepenuhnya apabila diletakkan bawah Maszlee.

Mungkin sudah tiba masanya pemimpin seperti Mustapa dan Mukhriz menjadi menteri penuh, Farid diberikan tanggungkawab lebih besar, manakala Wan Saiful diangkat menjadi senator dan diberi portfolio yang sesuai dengan beliau seperti perpaduan nasional atau perdagangan antarabangsa. Ini akan membolehkan Bersatu melatih barisan pelapis yang kukuh sebagai persediaan menghadapi era pasca Dr Mahathir Mohamad.

Apa jua, rombakan kabinet yang heboh dibincangkan sebelum ini merupakan satu peluang untuk Bersatu memperkukuh barisan kepimpinannya. Jika pilihan yang dibuat tersalah, maka peluang memperbetulkannya mungkin tidak akan datang lagi, terutama sekiranya Mahathir bukan lagi perdana menteri.


NUR AMIRAH RAZALI ialah seorang pemerhati politik tempatan yang berkhidmat di sebuah universiti swasta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS